Jangan klik pautan meragukan Baucar KitaSelangor

Iklan
Penerima yang layak akan menerima SMS secara berperingkat bermula 23 Jun ini bagi membolehkan mereka membuat pengesahan maklumat dan mengemukakan permohonan melalui Portal Baucar KitaSelangor. Foto hiasan

SHAH ALAM - Orang ramai diingatkan supaya sentiasa berwaspada terhadap sebarang khidmat pesanan ringkas (SMS) atau mesej yang mengandungi pautan mencurigakan berkaitan Program Baucar KitaSelangor bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan dalam talian.

Bahagian Korporat Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa orang ramai tidak seharusnya menekan pautan yang diterima daripada sumber tidak sah dan perlu merujuk maklumat rasmi yang akan diumumkan oleh kerajaan negeri dari semasa ke semasa.

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan itu, Program Baucar KitaSelangor masih belum dibuka untuk permohonan umum dan akan dilaksanakan secara bersasar kepada kumpulan penerima yang dikenal pasti berdasarkan data serta senarai yang dibekalkan oleh agensi berkaitan.

“Golongan terbabit ialah isi rumah miskin dalam pangkalan data eKasih, pekerja yang diberhentikan kerja, golongan rentan yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta ibu tunggal yang memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan.

Iklan

“Penerima yang layak akan menerima SMS secara berperingkat bermula 23 Jun ini bagi membolehkan mereka membuat pengesahan maklumat dan mengemukakan permohonan melalui Portal Baucar KitaSelangor bersama dokumen sokongan yang diperlukan,” kata kenyataan itu pada Selasa.

Sehubungan itu, kenyataan berkenaan memaklumkan bahawa orang ramai dinasihatkan supaya menunggu pengumuman rasmi kerajaan negeri yang akan dibuat pada 22 Jun ini sebelum mengambil sebarang tindakan berkaitan program tersebut.

Iklan

Sinar Harian pada Isnin melaporkan bahawa seramai 50,000 keluarga di Selangor bakal menerima bantuan RM100 sebulan menerusi inisiatif Baucar KitaSelangor bermula 30 Jun ini bagi membantu meringankan beban kos sara hidup.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bantuan selama enam bulan itu merupakan antara inisiatif di bawah Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor (PPDTS) Fasa 1 yang diumumkan oleh kerajaan negeri bagi menghadapi ketidaktentuan ekonomi global serta tekanan kos sara hidup.