EVIAN-LES-BAINS, PERANCIS - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menafikan laporan yang mendakwa Washington menyalurkan bayaran kepada Iran sebagai sebahagian daripada perjanjian antara kedua-dua negara.
Menerusi kenyataan di platform Truth Social, Trump menegaskan, dakwaan bahawa AS membayar Iran sebanyak AS$300 juta adalah tidak benar dan menyifatkannya sebagai “berita palsu” yang disebarkan pihak lawan politik.
Dalam masa sama, beliau menyatakan Iran telah bersetuju untuk tidak membangunkan senjata nuklear, selaras dengan kerangka perjanjian damai yang sedang dimuktamadkan antara Washington dan Tehran.
Penafian itu dibuat susulan laporan media yang mendakwa wujud elemen insentif kewangan dalam rundingan bagi menamatkan konflik serta mencapai persetujuan berhubung program nuklear Iran.
Bagaimanapun, beberapa pegawai kanan pentadbiran AS sebelum ini dilaporkan membincangkan kemungkinan langkah lain termasuk pelepasan dana Iran yang dibekukan, pelonggaran sekatan ekonomi serta penubuhan dana berskala besar bagi menyokong pembangunan semula negara itu - tertakluk kepada pematuhan syarat oleh Tehran dalam rundingan lanjut.
Perkembangan itu berlaku ketika AS dan Iran mencapai memorandum persefahaman (MoU) sebagai langkah awal ke arah perjanjian damai. Perjanjian itu dijadual ditandatangani secara rasmi di Geneva, Switzerland pada Jumaat ini, 19 Jun, sekali gus menjadi titik penting ke arah menamatkan konflik berpanjangan antara kedua-dua negara.
MoU berkenaan turut merangkumi usaha meredakan ketegangan di Asia Barat serta pembukaan semula Selat Hormuz, laluan strategik bagi perdagangan minyak global.
Konflik antara AS dan Iran kembali memuncak sejak beberapa bulan lalu susulan ketegangan geopolitik yang melibatkan sekutu Washington di rantau itu, khususnya Israel.
Pertembungan ketenteraan dan sekatan ekonomi telah meningkatkan kebimbangan global terhadap keselamatan tenaga dan kestabilan pasaran minyak.
Hubungan kedua-dua negara sememangnya tegang sejak sekian lama, terutama selepas AS menarik diri daripada perjanjian nuklear Iran 2015 dan melaksanakan semula sekatan ekonomi berskala besar.
Iran pula bertegas mempertahankan program nuklearnya sebagai bertujuan damai, manakala Washington berusaha memastikan Tehran tidak memiliki keupayaan senjata nuklear.
Dalam konteks terbaharu ini, kedua-dua pihak dilihat cuba menampilkan perkembangan rundingan sebagai kemenangan politik masing-masing, walaupun butiran penuh perjanjian masih belum dimuktamadkan dan dijangka menjadi tumpuan dalam rundingan lanjut. - Agensi/Awani