RINGGIT dibuka tinggi berbanding dolar AS susulan jangkaan bahawa Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed AS) akan mengekalkan kadar faedah dalam persekitaran kebimbangan inflasi yang semakin reda serta penurunan hasil Perbendaharaan AS.
Pada 8 pagi, mata wang tempatan itu mengukuh kepada 4.0455/0550 berbanding dolar AS daripada paras 4.0485/0525 ketika ditutup semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, harga minyak mentah terus menurun berikutan jangkaan yang semakin meningkat terhadap kemungkinan perjanjian damai antara AS dan Iran pada 19 Jun berpotensi membawa kepada pembukaan semula Selat Hormuz.
Beliau berkata, harga minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) dan Brent masing-masing susut 4.87 peratus dan 4.24 peratus kepada AS$80.75 dan AS$83.63 setong, manakala hasil Perbendaharaan AS 10 tahun turun di bawah 4.50 peratus, sekali gus mencerminkan kebimbangan terhadap inflasi yang semakin reda.
"Oleh itu, perkembangan sedemikian boleh mempengaruhi ahli-ahli Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) ketika mereka mempertimbangkan keputusan kadar faedah pada 16 dan 17 Jun,” katanya kepada Bernama.
Mohd Afzanizam berkata, ringgit berpotensi meneruskan pengukuhannya hari ini selepas ditutup 0.18 peratus lebih tinggi pada Isnin, disokong oleh optimisme terhadap kemungkinan perjanjian damai AS-Iran, walaupun pelabur kekal berhati-hati menjelang pemeteraian perjanjian yang dijangka berlangsung pada 19 Jun.
Pada pembukaan dagangan, ringgit turut mengukuh berbanding sekumpulan mata wang utama.
Mata wang tempatan itu meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.5245/5306 daripada 2.5283/5309 ketika ditutup pada Isnin, mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.4270/4398 daripada 5.4355/4409 dan naik berbanding euro kepada 4.6891/7002 daripada 4.6987/7033.
Berbanding mata wang serantau, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi kecuali berbanding peso Filipina yang hampir tidak berubah pada 6.69/6.71 berbanding paras 6.69/6.70 ketika ditutup pada Isnin.
Ringgit juga mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.4228/4601 daripada 12.4294/4474 ketika ditutup semalam, meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 228.4/229.1 daripada 228.5/228.9 serta naik berbanding dolar Singapura kepada 3.1534/1611 daripada 3.1580/1613. - Bernama