Warga Thailand kantoi seludup minyak masak, gula melalui pangkalan haram

Iklan
Kegiatan warga Thailand membeli minyak masak dan gula di sekitar pekan Rantau Panjang sebelum menyeludup keluar barangan kawalan itu melalui pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok berjaya dipatahkan PGA pada Isnin. Foto:PGA

RANTAU PANJANG - Kegiatan warga Thailand membeli minyak masak dan gula di sekitar pekan Rantau Panjang sebelum menyeludup keluar barangan kawalan itu melalui pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok berjaya dipatahkan Pasukan Gerakan Am (PGA) pada Isnin.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, rampasan melibatkan 51 kilogram (kg) minyak masak dan 36 kg gula itu dilakukan menerusi Op Taring Wawasan di Kampung Parit Air di sini kira-kira jam 5 petang.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, semasa rondaan dijalankan, anggota Strike Force Kompeni A Batalion 8 PGA mengesan sebuah motosikal Honda Wave bernombor pendaftaran Thailand dalam keadaan mencurigakan.

“Penunggang motosikal itu dilihat membawa beberapa bungkusan plastik sebelum bertindak berpatah balik sebaik sahaja menyedari kehadiran anggota PGA.

Iklan

“Anggota kemudian mengejar sehingga ke kawasan semak di Kampung Parit Air sebelum mendapati motosikal itu ditinggalkan di tepi jalan,” katanya kepada pemberita pada Selasa.

Beliau berkata, pemeriksaan di kawasan sekitar gagal menemukan suspek yang dipercayai melarikan diri ke kawasan berhampiran.

Iklan

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas motosikal yang ditinggalkan menemukan barangan kawalan yang dipercayai untuk diseludup ke Thailand.

Ahmad Radzi berkata, nilai keseluruhan rampasan termasuk motosikal dianggarkan berjumlah RM2,217.50.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati bekalan minyak masak dan gula itu dipercayai dibeli di kedai-kedai sekitar pekan Rantau Panjang sebelum dikumpulkan untuk dibawa keluar melalui pangkalan haram.

“Barangan kawalan ini dipercayai mendapat permintaan tinggi di Thailand dan disyaki akan diseludup menggunakan laluan tikus bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya.

Menurut beliau, kes tersebut telah dirujuk kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pasir Mas untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.