Pemandu e-hailing wanita ditikam, disamun penumpang

Iklan
Mangsa ditikam dan disamun penumpang lelaki dalam satu kejadian di Khon Kaen, Thailand. Foto hiasan

KHON KAEN - Seorang pemandu e-hailing wanita mengalami detik cemas apabila ditikam dan disamun penumpang lelaki dalam satu kejadian di Khon Kaen, Thailand.

Mangsa yang mengalami kecederaan tikaman di bahagian dada serta kehilangan beberapa batang gigi akibat serangan itu berkongsi pengalaman ngerinya di media sosial sebagai peringatan kepada pemandu lain, khususnya wanita supaya lebih berwaspada ketika menjalankan tugas.

Iklan
Iklan

Menurut mangsa, suspek yang dilaporkan berusia 19 tahun telah menempah perkhidmatan e-hailing dari kawasan Ban Ped menuju ke sebuah penginapan di belakang Universiti Khon Kaen.

Setibanya di destinasi, suspek mendakwa tidak dapat membuat pembayaran kerana aplikasi perbankan mudah alihnya mengalami masalah.

Iklan

Dia kemudian memaklumkan bahawa seorang rakannya akan membuat pembayaran bagi pihaknya.

Mangsa berkata, suspek membuat beberapa panggilan telefon namun kemudiannya mendakwa gagal menghubungi sesiapa.

Iklan

Suspek seterusnya meminta untuk dihantar semula ke lokasi asal pengambilan penumpang dengan alasan mahu mendapatkan wang dan berjanji akan membayar tambang tambahan.

Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi tersebut, suspek didakwa bertindak agresif dengan menikam mangsa di bahagian dada sebelum mengugut dan meminta wang tunai.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diperoleh media tempatan menunjukkan mangsa menjerit meminta pertolongan sambil membunyikan hon kenderaannya berulang kali.

Mangsa memaklumkan bahawa beliau hanya mempunyai kira-kira 90 baht dalam bentuk syiling yang digunakan sebagai wang baki pelanggan.

Suspek kemudian mengambil wang tersebut sebelum melarikan diri.

Dalam rakaman yang sama, seorang lelaki yang dipercayai suspek kedengaran memohon maaf sambil berkata, saya minta maaf. Saya tidak berniat melakukan perkara ini, saya hanya mahukan wang.

Walaupun cedera, mangsa berjaya memandu sendiri ke Balai Polis Ban Ped untuk mendapatkan bantuan.

Pihak polis kemudiannya menghubungi pasukan perubatan kecemasan serta memaklumkan kejadian itu kepada teman lelaki mangsa sebelum beliau dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.

Menurut laporan media tempatan, polis berjaya menahan suspek tidak lama selepas kejadian, namun identitinya masih belum didedahkan kepada umum.

Mangsa berkata, beliau bercadang untuk menuntut pampasan bagi kerugian yang dialaminya.

Menurutnya, kos menggantikan setiap batang gigi yang rosak dianggarkan melebihi 50,000 baht.

Insiden tersebut turut memberi kesan emosi yang mendalam kepada mangsa sehingga beliau menyatakan tidak lagi berhasrat untuk meneruskan kerjaya sebagai pemandu e-hailing.