Vozinha sebak, ibu gagal hadir saksikan detik bersejarah Cape Verde

Iklan
Vozinha (tengah) muncul wira Cape Verde ketika menentang Sepanyol. Foto: Agensi

PENJAGA gol Cape Verde, Vozinha, 40, tidak dapat menahan sebak selepas dipilih pemain terbaik perlawanan ketika membantu pasukannya seri 0-0 menentang Sepanyol dalam aksi Piala Dunia, apabila mengenang ibunya yang tidak dapat hadir ke stadium kerana kekangan kos visa.

Ibu kepada wira Cape Verde itu tidak berpeluang menyaksikan detik bersejarah berkenaan di Amerika Syarikat (AS) selepas tidak mampu menampung kos visa serta keperluan kewangan tambahan yang dikenakan sebelum perjalanan.

Iklan
Iklan

Pada Januari lalu, AS memasukkan Cape Verde dalam senarai negara yang perlu membayar bon boleh pulang sehingga AS$15,000 (kira-kira RM70,000) selain yuran visa, sekali gus menyukarkan proses permohonan ibunya.

Vozinha berkata perlawanan itu merupakan detik yang diperjuangkannya sepanjang hidup, sambil mengakui turut teringat kepada datuk dan neneknya yang sudah meninggal dunia.

Iklan

“Saya menangis kerana saya dibesarkan oleh datuk dan nenek saya dan mereka kini sudah tiada.

“Mereka adalah segalanya dalam hidup saya. Saya juga menangis kerana ibu saya tidak dapat hadir kerana masalah visa.

Iklan

"Disebabkan kos yang perlu dibayar, kami tidak sempat menyelesaikannya. Saya mahu dia berada di sini tetapi saya tetap gembira,” katanya.

Beliau turut menjelaskan perjalanan kariernya bukan mudah apabila hanya bermula secara profesional pada usia 25 tahun, namun terus berjuang demi impian bersama Cape Verde.

“Ini adalah untuk semua orang. Saya dipilih pemain terbaik perlawanan, tetapi ia untuk rakan sepasukan kerana tanpa mereka, semua ini tidak akan berlaku. Saya akan terus berjuang untuk Cape Verde dan rakyatnya,” katanya.

Dalam aksi itu, Sepanyol mendominasi penguasaan bola namun buntu menembusi benteng Cape Verde, dengan beberapa percubaan terbaik mereka dinafikan Vozinha termasuk rembatan Ferran Torres yang terkena palang.

Ketua jurulatih Cape Verde, Bubista memuji ketahanan emosi penjaga gol itu yang disifatkan menjadi antara kunci kejayaan pasukan.

Beliau berkata pasukan bermain dengan tenang dan berdisiplin, sekali gus membantu Vozinha mengekalkan fokus sepanjang perlawanan.