Maskot Piala Dunia cekup suspek edar dadah

Iklan
Suspek ditahan 'Clutch' dan 'Maple' ketika perlawanan pembukaan Piala Dunia antara Mexico dan Afrika Selatan pada Khamis lalu. Foto Agensi

LIMA - Dua anggota polis yang menyamar sebagai maskot Piala Dunia 2026, Clutch dan Maple berjaya memberkas seorang suspek pengedar dadah di ibu kota Peru.

Ketua Skuadron Hijau (unit memerangi jenayah biasa), Kolonel Carlos Alcantara berkata, penahanan Carlos Cabrera, 48, dibuat atas bantuan dua anggota penyamar ketika perlawanan pembukaan Piala Dunia antara Mexico dan Afrika Selatan pada Khamis lalu.

Iklan
Iklan

“Melalui hasil risikan, kami mendapati individu ini merupakan peminat tegar bola sepak dan sedang dilanda demam Piala Dunia.

“Oleh itu, kami memutuskan untuk menyamar sebagai maskot Piala Dunia supaya dapat mendekatinya tanpa menimbulkan syak wasangka sebelum melakukan tangkapan," katanya.

Iklan

Dua maskot itu turut menggunakan tukul besi untuk memecahkan pintu sebelum menyerbu masuk premis berkenaan bersama anggota lain.

Sebanyak 2,524 peket kokain asas dan sepucuk pistol ditemui ketika operasi tersebut.

Iklan

Di Peru, kesalahan pengedaran dadah berskala kecil boleh dihukum penjara antara tiga hingga tujuh tahun jika seseorang didapati memiliki antara lima hingga 50 gram kokain asas.

Dalam operasi terdahulu, polis Peru pernah menyamar pelbagai watak fiksyen terkenal seperti The Grinch, Freddy Krueger, Deadpool, Wolverine dan Santa Claus bagi menghampiri suspek tanpa menimbulkan syak wasangka sebelum melakukan tangkapan.

Bagi edisi Piala Dunia kali ini, tiga maskot haiwan dipilih sebagai simbol negara tuan rumah bersama iaitu Clutch, helang botak yang mewakili Amerika Syarikat (AS); Maple, seekor rusa besar mewakili Amerika Utara dan Mexico pula diwakili Zayu iaitu seekor jaguar. - Agensi