PRN Johor, Negeri Sembilan jadi tanda aras penting

Iklan
PRU16 akan menyaksikan pesta demokrasi paling meriah dan terbesar dalam sejarah. Gambar hiasan

NAMPAKNYA Pilihan Raya Umum ke-16 akan menyaksikan pesta demokrasi paling meriah dan terbesar dalam sejarah. Umum sudah mengetahui antara kerjasama dan gabungan terbesar pada ketika ini ialah Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

Ketiga-tiga parti ini berentap hingga ketitisan peluh yang terakhir untuk berusaha menjadi juara rakyat dan membentuk kerajaan. Malangnya tiada siapa yang jadi juara menyebabkan mereka terpaksa bekerjasama dan membentuk sebuah kerajaan perpaduan.

Iklan
Iklan

Dalam perkembangan politik semasa, kita saksikan kemunculan Parti Bersama Malaysia yang diambil alih oleh Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad.

Bersama merupakan sebuah parti serpihan dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan perpecahan yang berlaku selepas pemilihan parti itu yang menyaksikan Rafizi tersingkir daripada kepimpinan parti.

Iklan

PN juga sedang berdepan krisis dalaman yang jauh lebih parah yang menyaksikan perpecahan bertaraf mega dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Mereka mengalami episod perbalahan dalam rumah tangga yang serius sehingga mengakibatkan berlakunya perceraian politik antara Pas dan Bersatu.

Iklan

Kini Pas memilih Datuk Seri Hamzah Zainudin dan bersedia menerima kemasukan parti pimpinan Hamzah iaitu Parti Wawasan Negara termasuk mengumumkan Ahli Parlimen Larut itu sebagai Ketua Pembangkang.

Namun BN pula berada dalam kedudukan baik dan sudah bersedia untuk memenangi PRU16. BN sudah berusia lebih 50 tahun dan cukup berpengalaman luas dalam sepak terajang dalam politik.

Biarpun mengalami kekalahan teruk tetapi atas kebijaksanaan pemimpin BN, mereka masih boleh jadi sebahagian daripada kerajaan dan menunggu peluang keemasan untuk bangkit semula.

Ternyata dengan mewujudkan Rumah Bangsa, BN mampu memanggil kembali bekas-bekas panglima perang untuk sama-sama berjuang dalam parti itu.

Pas juga kini dalam kedudukan terbaik namun mereka memerlukan sekutu yang kuat untuk memenangi hati pengundi bukan Melayu. Jika itu mereka mampu lakukan, maka Pas boleh jadi Goverment In Waiting.

Bagaimanapun, rakyat yang akan buat keputusan penting dan pada masa ini Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan akan jadi tanda aras penting.