SEREMBAN – Tindakan tiga lelaki melarikan diri daripada pemeriksaan polis berakhir dengan penahanan dua daripada mereka selepas kenderaan yang dinaiki berjaya dipintas dalam kejadian di sekitar Jalan Tun Dr Ismail di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Yatim Osman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 10.45 pagi.
"Sebuah kenderaan MPV Seremban telah mengejar sebuah kereta Proton Waja yang enggan berhenti untuk pemeriksaan.
"Namun kenderaan dinaiki berjaya dihalang polis dan dua lelaki ditahan manakala seorang lagi telah melarikan diri,"katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan tersebut telah menemukan 14 barangan dipercayai digunakan untuk kegiatan mencuri kabel selain senjata berjadual.
Tambahnya, polis turut menjumpai dua paket plastik lut sinar yang disyaki mengandungi dadah.
"Hasil soal siasat dijalankan ke atas suspek mengakui bersama rakannya yang masih bebas melakukan curi kabel di sekitar kawasan Seremban.
"Semakan rekod lampau ke atas kedua-dua suspek mendapati masing-masing mempunyai tujuh dan 10 rekod jenayah lampau atas pelbagai kesalahan jenayah dan dadah,"katanya.
Jelasnya, semakan ke atas Proton Waja dinaiki mendapati ia didaftarkan atas nama seorang wanita.
Tambahnya, kes disiasat dibawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan / 279 Kanun Keseksaan 6(1) Akta Bahan Kakisan Letupan Senjata Berjadual.
"Tangkapan akan dibawa ke Mahkamah Seremban pada esok untuk permohonan reman bagi siasatan lanjut.
"Masyarakat yang mempunyai sebarang maklumat boleh disalurkan terus kepada Pegawai Penyiasat Sarjan Amram Ismail di talian 019-9661346 atau bilik gerakan Ibu Pejabat Daerah Seremban di talian 06-6033222,"katanya.