PUTRAJAYA – Pihak pendakwaan memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan di sini agar hukuman gantung sampai mati terhadap bekas penuntut universiti, Muhammad Fakrul Aiman Sajali kerana membunuh dan membakar teman wanitanya yang hamil di Sabak Bernam dikekalkan.
Peguam, Muhammad Nor Tamrin yang mewakili pemuda berusia 23 tahun itu berkata, pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan bertarikh 25 Mei lalu, selepas Mahkamah Rayuan di sini mengetepikan hukuman mati itu kepada penjara selama 40 tahun dan 12 sebatan.
Menurutnya, pihak pendakwaan mencabar keseluruhan keputusan tersebut namun anak guam tidak berhasrat untuk memfailkan rayuan balas.
Semasa didakwa, lelaki itu mengaku bersalah atas satu pertuduhan, membunuh Nur Anisah Abdul Wahab, 21, di Jalan Sungai Limau antara jam 8.30 malam 22 Mei hingga 8 pagi, 23 Mei 2023.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, perlu disebatan tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Hakim Mahkamah Tinggi Klang, Norazlin Othman pada 15 Oktober 2025 kemudiannya, menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadapnya.
Katanya, mahkamah mengambil kira keseriusan perbuatan disifatkan sebagai kejam dan hakikat kes itu menjurus kepada jenayah dirancang, ia memerlukan satu hukuman berat jika dibandingkan jenayah bersifat spontan.
Bagaimanapun, pada 14 Mei lalu, Mahkamah Rayuan mengetepikan hukuman mati itu kepada penjara 40 tahun berserta sebatan terbabit.
Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Azman Abdullah yang bersidang bersama Datuk Ahmad Kamal Md Shahid dan Datuk Seri Mohd Radzi Harun, sebulat suara memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula tarikh dia ditangkap, 23 Mei 2023.
Panel mengambil kira usia perayu yang masih muda ketika kejadian, selain terdapat pilihan hukuman di bawah Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023.