'Minyak mahal, yang murah cuma janji' warnai protes mahasiswa Indonesia

Iklan
Seorang demonstran memakai topeng bergambar wajah Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, ketika menyertai protes antikerajaan di Jakarta. - Foto Anadolu.

JAKARTA –"Minyak mahal, yang murah cuma janji," mesej ringkas yang tertera pada sekeping kertas dibawa seorang mahasiswa itu antara yang mencuri perhatian dalam gelombang demonstrasi yang kembali menggegarkan beberapa bandar di Indonesia pada Isnin, mencerminkan kekecewaan sebahagian rakyat terhadap peningkatan kos sara hidup dan dasar pentadbiran Presiden Prabowo Subianto.

Siri protes yang bermula sejak hujung minggu lalu dijadual diteruskan di Jakarta, Bandung, Semarang dan Medan, dengan pelbagai kumpulan mahasiswa tampil membawa tuntutan berhubung isu ekonomi, pendidikan, kebebasan sivil dan tadbir urus negara.

Iklan
Iklan

Di Jakarta, sekurang-kurangnya empat himpunan dirancang di beberapa lokasi sekitar Jakarta Pusat melibatkan gabungan Badan Eksekutif Mahasiswa (BEM) dan pertubuhan masyarakat.

Badan Eksekutif Mahasiswa Universiti Bung Karno (BEM UBK), yang memulakan aksi di Jalan Medan Merdeka Selatan, mengemukakan enam tuntutan utama termasuk mendesak kerajaan menghentikan sementara serta menilai semula program Makan Bergizi Gratis (MBG) dan Koperasi Desa Merah Putih.

Iklan

Mereka turut menggesa kerajaan mengkaji semula Rang Undang-Undang (RUU) Polis Indonesia, menghentikan amalan militerisme, memperkukuh masyarakat sivil, mengambil langkah strategik bagi menstabilkan nilai rupiah serta menjamin ketahanan ekonomi negara.

Selain itu, mahasiswa menuntut hak pendidikan yang lebih inklusif, berkualiti dan mampu diakses semua lapisan masyarakat, selain menilai semula kenaikan harga bahan api yang didakwa terus membebankan rakyat.

Iklan

Himpunan lain di Jakarta turut disertai gabungan pelbagai organisasi mahasiswa termasuk PMII, GMNI, FAM UI, HMI dan BEM Universitas Trisakti, manakala satu lagi demonstrasi dijadual berlangsung di hadapan bangunan DPR/MPR RI.

Bagi mengawal keadaan, seramai 5,955 anggota polis gabungan daripada Polda Metro Jaya, Polres Jakarta Pusat dan beberapa balai polis dikerahkan ke lokasi-lokasi berkaitan.

Di Bandung, mahasiswa daripada beberapa institusi pengajian tinggi termasuk Universiti Widyatama, Universiti Pasundan dan Gabungan BEM Nusantara dijadual berhimpun di bangunan Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) Jawa Barat serta pejabat Bank Indonesia wilayah Jawa Barat.

Di Semarang pula, Himpunan Mahasiswa Islam (HMI) cawangan Semarang akan mengadakan demonstrasi di beberapa lokasi utama bandar itu.

Sementara itu, BEM Universiti Sumatera Utara di Medan akan mengadakan bantahan di hadapan bangunan DPRD Sumatera Utara dengan membawa enam isu utama melibatkan kenaikan harga bahan api, ekonomi nasional, RUU Polri, penilaian semula program MBG, peruntukan pendidikan serta isu alam sekitar dan agraria.

Gelombang protes yang berterusan sejak beberapa hari lalu dilihat sebagai manifestasi keresahan golongan muda terhadap pelbagai dasar kerajaan, dengan plakad bertulis"Minyak mahal, yang murah cuma janji" menjadi simbol paling jelas kepada sentimen yang ingin mereka suarakan. - Agensi