7-Eleven, PERKESO jalin kerjasama beri latihan prapekerjaan

Iklan
Mohd Annuar (tiga dari kanan) bersama Subahan (tiga dari kiri) menyaksikan pemeteraian MoU di antara 7-Eleven dan PERKESO di Pusat Rehabilitasi Neuro-Robotik dan Sibernik Kebangsaan PERKESO di Bandar Meru Raya, Ipoh pada Isnin.

IPOH – 7-Eleven Malaysia Holding Berhad (7-Eleven) menjalin kerjasama strategik dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi menyediakan latihan prapekerjaan dan peluang pekerjaan kepada Orang Berinsurans (OB) di bawah Program Kembali Bekerja (RTW).

Pengerusi Lembaga Pengarah 7-Eleven Malaysia Holding Berhad, Tan Sri Mohd Annuar Zaini berkata, kerjasama yang dimeterai menerusi memorandum persefahaman (MoU) itu bertujuan membantu individu yang sedang menjalani proses rehabilitasi membina semula keyakinan diri sebelum kembali ke alam pekerjaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, peserta program akan didedahkan kepada persekitaran kerja sebenar di rangkaian stor 7-Eleven di seluruh negara meliputi bidang perkhidmatan pelanggan, pengurusan produk serta operasi harian peruncitan.

“Latihan yang diberikan bukan sekadar simbolik, sebaliknya bertujuan membolehkan peserta memperoleh kemahiran sebenar dalam suasana kerja sebenar dan seterusnya meningkatkan peluang mereka untuk mendapatkan pekerjaan yang mampan.

Iklan

“Melalui persekitaran kerja yang selamat, inklusif dan kondusif, setiap peserta akan menerima bimbingan, pemantauan serta sokongan berterusan daripada pasukan 7-Eleven dan PERKESO sepanjang program berlangsung,” katanya ketika berucap pada majlis pemeteraian kerjasama tersebut.

Majlis berkenaan berlangsung di Pusat Rehabilitasi Neuro-Robotik dan Sibernik Kebangsaan PERKESO di Bandar Meru Raya di sini pada Isnin.

Iklan

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah PERKESO, Datuk Seri Subahan Kamal dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman.

Mohd Annuar berkata, 7-Eleven mempunyai lebih 2,700 stor di seluruh negara yang membolehkan peserta ditempatkan berhampiran kawasan tempat tinggal masing-masing selain sistem kerja berasaskan syif yang memberi fleksibiliti kepada mereka yang masih menjalani pemulihan.

Katanya, syarikat itu menyasarkan untuk menerima kohort pertama peserta RTW sebelum penghujung tahun ini dan berharap model kerjasama tersebut dapat diperluaskan bagi memberi manfaat kepada lebih ramai peserta pada masa hadapan.

Beliau turut berkongsi bahawa inisiatif berkenaan merupakan impian yang diusahakannya sejak hampir 20 tahun lalu selepas menyaksikan sendiri kesukaran pesakit yang mengalami kecacatan fizikal mendapatkan pekerjaan walaupun telah selesai menjalani rawatan dan pemulihan.

Dalam sidang media selepas majlis itu, Mohd Annuar menjelaskan peserta yang disahkan bersedia oleh pakar PERKESO akan mengikuti latihan di stor 7-Eleven sebelum dinilai untuk penempatan pekerjaan.

“Sekiranya mereka dapat menyesuaikan diri dengan tugasan dan menunjukkan prestasi yang memuaskan selepas tempoh latihan, kita boleh menawarkan pekerjaan di stor berhampiran tempat tinggal mereka.

“Hasrat kita adalah membantu mereka kembali berdikari dan memperoleh peluang pekerjaan yang sesuai dengan kemampuan masing-masing,” katanya.

MoU yang dimeterai kedua-dua belah pihak itu bertujuan menyokong rehabilitasi, kebolehpasaran serta integrasi semula tenaga kerja berinsurans PERKESO ke dalam pasaran pekerjaan menerusi Program RTW.