KOTA BHARU - Polis Kelantan mengadakan perjumpaan dengan kira-kira 10 syarikat kurier di negeri ini bagi memperkukuhkan kerjasama dalam usaha mengekang kegiatan pengedaran dadah yang semakin kerap menggunakan perkhidmatan penghantaran parcel sebagai modus operandi.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, pertemuan itu turut melibatkan pegawai dari Bukit Aman bagi memberi penerangan mengenai prosedur operasi serta memorandum persefahaman (MoU) berkaitan pengendalian penghantaran yang disyaki mengandungi bahan terlarang.
Menurut beliau, langkah itu diambil susulan banyak tangkapan kes dadah yang berjaya dilakukan hasil kerjasama dan maklumat daripada syarikat kurier.
"Kita adakan pertemuan dengan syarikat-syarikat kurier bagi membincangkan kaedah kerjasama yang lebih berkesan kerana banyak tangkapan berjaya dibuat melalui perkhidmatan kurier.
"Ini menunjukkan syarikat kurier semakin peka dan sentiasa membantu pihak polis mengesan penghantaran yang mencurigakan," katanya semasa sidang media selepas perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Isnin.
Mohd Yusoff berkata, polis turut mengingatkan syarikat kurier supaya memastikan setiap pengirim direkodkan identitinya termasuk nombor kad pengenalan dan nombor telefon bagi memudahkan siasatan sekiranya berlaku kesalahan jenayah.
Katanya, pekerja kaunter juga disaran lebih berwaspada terhadap pelanggan yang menunjukkan tingkah laku mencurigakan atau terlalu tergesa-gesa ketika membuat penghantaran.
"Kita minta pekerja kurier mengambil maklumat pengirim dengan lengkap. Jika ada perkara yang mencurigakan, mereka boleh meminta pelanggan membuka bungkusan tersebut untuk pemeriksaan lanjut," katanya.
Dalam pada itu, beliau mengakui trend penggunaan sistem 'drop-off' tanpa bersemuka menjadi antara cabaran baharu kepada pihak berkuasa kerana menyukarkan proses pengesanan identiti sebenar pengirim.
Menurutnya, terdapat individu yang membuat pendaftaran penghantaran secara dalam talian sebelum meletakkan parcel di lokasi tertentu tanpa melalui pemeriksaan kaunter.
"Kaedah ini menyebabkan maklumat pengirim sukar disahkan dan membuka ruang kepada pihak tertentu menyalahgunakan perkhidmatan kurier untuk tujuan jenayah.
"Sebab itu kita mengesyorkan supaya kaedah manual terus digunakan terutama bagi penghantaran tertentu supaya maklumat pengirim dapat direkodkan dengan lebih lengkap," katanya.
Mengulas mengenai kemungkinan wujud unsur pakatan sulit dalam kalangan syarikat atau pekerja kurier, beliau berkata, setakat ini polis tidak mengesan penglibatan mana-mana syarikat dalam aktiviti pengedaran dadah.
Beliau memberitahu, setakat ini belum ada syarikat yang dikesan bersekongkol namun sebaliknya ada pekerja mereka yang ditahan bagi membantu siasatan.