Kerajaan jamin terus pertahan sekolah vernakular

Iklan
Kah Woh (tengah) nenyerahkan surat kelulusan pembinaan bangunan baharu SJKT Rajaji kepada Lembaga Pengelola Sekolah SJKT Rajaji pada Isnin.

GEORGE TOWN – Kerajaan Madani memberi jaminan akan terus mempertahankan dan memelihara semua sekolah vernakular di negara ini sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, kerajaan komited memastikan tiada sekolah vernakular ditutup selain terus menyediakan sokongan dari aspek pembangunan, infrastruktur dan kebajikan pendidikan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) mempunyai peranan penting dalam landskap pendidikan negara yang bersifat majmuk.

“Sejak 2023, Menteri Pendidikan telah berkali-kali menegaskan bahawa sekolah vernakular merupakan sebahagian penting daripada sistem pendidikan negara.

Iklan

“Kita memahami kebimbangan masyarakat yang sering tertanya-tanya mengenai masa depan sekolah vernakular, khususnya sekolah yang berdepan kekangan jumlah murid atau isu tapak.

“Komitmen Kerajaan Madani jelas, di bawah pentadbiran ini tidak ada mana-mana sekolah sama ada sekolah kebangsaan, SJKC atau SJKT yang akan ditutup. Kita akan mengekalkan semua sekolah yang ada,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Surat Kelulusan Pembinaan Bangunan Baharu SJKT Rajaji di Air Itam di sini pada Isnin.

Kah Woh menambah, jaminan itu membolehkan pihak pengurusan sekolah, lembaga pengelola serta komuniti setempat memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kualiti pendidikan dan pembangunan sekolah masing-masing.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan turut meneruskan pelbagai inisiatif bagi memperkasakan sekolah vernakular termasuk penyaluran peruntukan penyelenggaraan, pembekalan peralatan teknologi pendidikan serta penambahbaikan kemudahan sekolah.

Menurutnya, usaha berterusan itu membuktikan komitmen kerajaan untuk memastikan semua aliran sekolah mendapat perhatian sewajarnya demi kepentingan murid dan masa depan pendidikan negara.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) akan menyalurkan peruntukan penyelenggaraan sebanyak RM50 juta kepada 528 SJKT di seluruh negara tahun ini berbanding kira-kira RM20 juta yang diperuntukkan sebelum ini.

Katanya, jumlah peruntukan yang bakal diterima setiap sekolah sedang dimuktamadkan dan akan mengambil kira pelbagai faktor termasuk jumlah murid serta keperluan sebenar sekolah.

“Kita tidak mengambil jalan mudah dengan membahagikan secara purata kerana ada sekolah yang kecil dan ada sekolah yang mempunyai lebih 1,000 murid.

“Apa yang penting, peruntukan bagi SJKT telah meningkat kepada RM50 juta tahun ini sebagai komitmen kerajaan untuk memastikan pembangunan sekolah-sekolah Tamil di negara ini,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa 22 SJKT berstatus sekolah bantuan kerajaan di Pulau Pinang akan menerima perabot dan kelengkapan baharu bernilai RM1.156 juta menerusi inisiatif Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).

Menurutnya, pembekalan perabot tersebut dijangka dilaksanakan dalam tempoh satu hingga dua bulan selepas keperluan setiap sekolah dikenal pasti.

Mengulas mengenai bangunan baharu SJKT Rajaji, Kah Woh berkata, sekolah yang berusia 76 tahun itu bakal menikmati persekitaran pembelajaran lebih selesa apabila projek pembinaan bangunan baharunya di Farlim dijangka siap dalam tempoh 18 bulan dan mula beroperasi selewat-lewatnya pada sesi persekolahan 2029.

Beliau menambah, SJKT Rajaji yang kini mempunyai kira-kira 100 murid berdepan masalah kekangan ruang dan tidak lagi mampu menampung keperluan masyarakat India di kawasan berkenaan.

“Kerajaan negeri sebelum ini telah meluluskan tanah seluas 0.93 hektar pada 2022 bagi tujuan pemindahan sekolah tersebut yang terletak kira-kira 500 meter dari lokasi sedia ada.

"Kos pembinaan sekolah baharu itu dianggarkan RM8 juta dan akan ditanggung sepenuhnya oleh pemaju projek," ujarnya lagi.