Isyarat tegas PMX: Lindungi PMKS tempatan daripada penyalahgunaan visa pelawat

Iklan
Peniaga asing haram tidak membayar cukai, tidak mencarum kepada sistem perlindungan sosial pekerja dan tidak mematuhi syarat pelesenan tempatan. FOTO: Facebook DBKL

ISU warga asing yang memasuki Malaysia menggunakan visa pelancong, visa pelawat atau pas pelajar tetapi kemudiannya menjalankan aktiviti perniagaan secara tidak sah bukanlah perkara baharu.

Perkara tersebut memberi gambaran yang membimbangkan dan memerlukan tindakan menyeluruh apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri membangkitkannya dalam perhimpunan bulanan Kementerian Komunikasi pada 8 Jun lalu.

Iklan
Iklan

Dalam ucapannya, Anwar menyatakan bahawa kerajaan menerima banyak aduan mengenai warga asing yang menggunakan pas lawatan untuk menjalankan pelbagai bentuk perniagaan, termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) seperti kedai kopi, bengkel membaiki kenderaan, perkhidmatan penyaman udara, ejen pelancongan, peruncitan dan aktiviti perdagangan melalui platform e-dagang.

Lebih membimbangkan, terdapat dakwaan bahawa sesetengah perniagaan ini menggunakan lesen tempatan sebagai 'proksi' sedangkan operasi sebenar, modal, pekerja dan keuntungan dikawal oleh pihak asing.

Iklan

Walaupun Perdana Menteri memberikan contoh melibatkan warga China kerana jumlah kes yang lebih ketara ketika ini, beliau turut menegaskan bahawa prinsip yang sama akan dikenakan terhadap mana-mana warga asing tanpa mengira negara asal.

Dari sudut ekonomi, PMKS merupakan tulang belakang ekonomi negara. Menurut data rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 31 Julai 2025, PMKS menyumbang 39.5 peratus atau RM652.4 bilion kepada ekonomi Malaysia pada tahun 2024 melibatkan sejumlah 8.10 juta peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

Iklan

Oleh itu, apabila berlaku persaingan tidak seimbang daripada pihak yang beroperasi secara tidak sah, golongan yang paling terkesan ialah usahawan kecil tempatan yang bergantung kepada keuntungan harian untuk meneruskan kelangsungan perniagaan.

Keadaan menjadi lebih sukar apabila peniaga asing yang beroperasi secara haram mempunyai kelebihan tertentu. Sebahagian daripada mereka mungkin tidak membayar cukai, tidak mencarum kepada sistem perlindungan sosial pekerja, tidak mematuhi syarat pelesenan tempatan dan memperoleh bekalan terus dari negara asal pada harga yang jauh lebih rendah. Dalam situasi ini, peniaga tempatan yang mematuhi undang-undang terpaksa bersaing dalam padang permainan yang tidak sama rata.

Selain itu, kebocoran ekonomi turut menjadi kebimbangan utama. Sekiranya keuntungan yang diperoleh daripada aktiviti perniagaan di Malaysia akhirnya dipindahkan ke luar negara tanpa memberi nilai tambah yang signifikan kepada ekonomi tempatan, negara akan kehilangan sebahagian manfaat ekonomi yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat Malaysia. Dalam tempoh jangka panjang, keadaan ini boleh melemahkan daya tahan sektor PMKS tempatan dan mengurangkan peluang pekerjaan untuk rakyat sendiri.

Isu yang dibangkitkan Perdana Menteri juga mempunyai dimensi keselamatan dan tadbir urus. Penyalahgunaan visa pelancong atau pas pelajar untuk tujuan komersial menunjukkan wujud kelemahan dalam pemantauan dan penguatkuasaan. Jika tidak dibendung, ini boleh membuka ruang kepada aktiviti ekonomi tidak formal yang sukar dikesan oleh pihak berkuasa, termasuk pengelakan cukai, pemindahan wang tidak sah dan penggunaan identiti atau lesen tempatan secara tidak sah.

Dalam sektor pelancongan misalnya, beberapa kawasan tumpuan pelancong telah menyaksikan kemunculan situasi di mana ejen pelancongan, pemandu pelancong, pengusaha pengangkutan dan perniagaan berkaitan didominasi oleh warga asing yang beroperasi dalam rangkaian mereka sendiri. Keadaan ini menyebabkan manfaat ekonomi daripada kedatangan pelancong asing tidak mengalir secara optimum kepada komuniti tempatan.

Bagaimanapun, isu ini perlu ditangani secara berhemah. Malaysia merupakan sebuah negara yang bergantung kepada perdagangan antarabangsa, pelaburan asing dan sektor pelancongan. Oleh itu, tindakan kerajaan tidak boleh dilihat sebagai bersifat anti-pelabur atau anti-warga asing.

Pelabur dan usahawan asing yang mematuhi undang-undang negara perlu terus dialu-alukan kerana mereka menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, pemindahan teknologi dan penciptaan peluang pekerjaan. Apa yang perlu dibanteras ialah penyalahgunaan sistem, bukannya kehadiran warga asing secara keseluruhannya.

Sehubungan itu, pendekatan yang dicadangkan oleh Perdana Menteri dilihat amat tepat kerana ia menekankan kepada penguatkuasaan bersepadu melibatkan pelbagai agensi seperti Jabatan Imigresen Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan pihak berkuasa tempatan.

Kerajaan juga perlu mempercepatkan penggunaan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) bagi mengenal pasti corak transaksi yang mencurigakan, menjejaki aliran wang serta mengesan rangkaian perniagaan yang menggunakan lesen tempatan sebagai topeng kepada operasi asing. Dalam era ekonomi digital, penguatkuasaan tidak lagi boleh bergantung semata-mata kepada pemeriksaan fizikal di premis perniagaan.

Mekanisme pemberi maklumat (whistleblower) juga perlu diperkukuhkan supaya peniaga tempatan dan orang ramai dapat menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa tanpa rasa takut. Persatuan perniagaan dan dewan perdagangan juga perlu memainkan peranan lebih aktif membantu kerajaan mengenal pasti aktiviti yang melanggar undang-undang.

Apa yang dibangkitkan oleh Perdana Menteri sebenarnya bukan sekadar soal pelanggaran syarat visa, tetapi menyentuh isu yang lebih besar iaitu kedaulatan ekonomi negara dan hak rakyat tempatan untuk bersaing secara adil dalam pasaran mereka sendiri.

Keberanian Perdana Menteri mengangkat isu ini secara terbuka wajar dipuji kerana ia menunjukkan kesediaan kerajaan untuk bertindak terhadap masalah yang semakin meresahkan masyarakat walaupun melibatkan kepentingan pelbagai pihak.

Justeru amaran yang diberikan perlu diterjemahkan kepada tindakan penguatkuasaan yang tegas supaya Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang mesra pelaburan dan perdagangan, tetapi pada masa yang sama tidak berkompromi terhadap sebarang bentuk penyalahgunaan undang-undang yang menjejaskan peluang perniagaan dan mata pencarian rakyat tempatan.

*Penulis ialah Felo Bersekutu di Institut Hubungan Antarabangsa dan Diplomasi Asia (AIIAD) dan juga Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Nor Azura A Rahman