DALAM suasana dunia yang semakin mencabar dengan tekanan ekonomi, bencana alam serta peningkatan golongan rentan masyarakat, peranan pertubuhan sukarelawan menjadi semakin penting.
Di Negeri Perlis, antara organisasi yang semakin menonjol dalam kerja-kerja kebajikan ialah PVAC atau Perlis Volunteer Action Community yang dikenali secara rasmi sebagai Persatuan Komuniti Sukarelawan Kebajikan Negeri Perlis.
Ditubuhkan pada Oktober 2019 di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis, PVAC merupakan penjenamaan semula Sukarelawan JKM Negeri Perlis dengan matlamat memperkasakan gerakan sukarelawan secara lebih tersusun, profesional dan berimpak tinggi kepada masyarakat.
Baru-baru ini, satu sesi perjumpaan dan perbincangan khas telah diadakan melibatkan saya bersama Pengerusi PVAC, Effendey Harun serta jawatankuasa dan wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis, Shariman Hashim.
Pertemuan tersebut membuka ruang kepada perbincangan lebih mendalam mengenai realiti sebenar operasi sukarelawan di negeri ini, termasuk cabaran yang sering dihadapi di lapangan.
Melalui sesi tersebut, pelbagai isu dibangkitkan termasuk kekangan tenaga kerja sukarelawan, kesukaran mendapatkan pelepasan tugas daripada majikan, keterbatasan logistik serta keperluan pengiktirafan rasmi terhadap gerakan sukarelawan negeri.
Saya turut menyatakan penghargaan terhadap komitmen tinggi PVAC yang terus bergerak membantu masyarakat walaupun berdepan pelbagai kekangan operasi dan kewangan.
Menurut wakil PVAC, organisasi itu bukan sekadar menjalankan kerja kebajikan bermusim, tetapi menjadi antara barisan hadapan dalam membantu kumpulan sasar JKM termasuk keluarga miskin, warga emas, orang kurang upaya, ibu tunggal serta mangsa bencana.
Sepanjang tempoh pandemik Covid-19, PVAC memainkan peranan besar dalam mengagihkan bantuan makanan kepada rakyat yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Sukarelawan mereka turun dari rumah ke rumah menghantar pek makanan dan keperluan asas kepada keluarga yang terputus sumber pendapatan.
Peranan tersebut diteruskan ketika berlaku bencana banjir apabila PVAC membantu menyediakan pusat pemindahan sementara (PPS), mengurus pengagihan bantuan serta melaksanakan kerja pembersihan pasca-banjir. Dalam banyak keadaan, tenaga sukarelawan inilah yang menjadi pasukan terawal tiba membantu mangsa.
Salah satu inisiatif utama yang mendapat perhatian masyarakat ialah Boutique4Community atau Butik Komuniti yang dikendalikan oleh PVAC. Melalui konsep kebajikan berteraskan komuniti, butik ini menyediakan pakaian, makanan serta barangan keperluan sama ada baharu atau terpakai secara percuma kepada golongan memerlukan.
Pendekatan ini bukan sahaja membantu mengurangkan beban rakyat, malah menggalakkan budaya kitar semula dan solidariti sosial dalam kalangan masyarakat setempat.
Selain itu, PVAC turut menguruskan Pusat Agihan Makanan Asas (PAMA) bagi memastikan bantuan dapat disalurkan secara lebih sistematik.
Kekuatan PVAC turut terserlah melalui hubungan strategik dengan pelbagai pihak termasuk Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs). Kerjasama tersebut membolehkan bantuan kepada asnaf dan mangsa bencana diagihkan secara lebih tersusun dan menyeluruh.
PVAC juga menerima manfaat daripada penggunaan premis khas Pusat Aktiviti Sukarelawan atau V@C yang disumbangkan oleh MAIPs sebagai pusat operasi kebajikan mereka.
Dari sudut pengurusan pula, organisasi ini memiliki integriti yang baik kerana setiap dana yang diterima daripada kerajaan, sektor korporat dan orang awam dipantau secara langsung oleh pihak JKM Perlis.
Namun di sebalik kekuatan tersebut, realiti sebenar operasi PVAC tidaklah semudah yang disangka. Dalam sesi perbincangan bersama saya, antara isu paling besar dibangkitkan ialah kebergantungan penuh kepada tenaga sukarelawan tanpa bayaran tetap.
Majoriti ahli PVAC mempunyai pekerjaan hakiki masing-masing dan perlu membahagikan masa antara kerjaya, keluarga dan tugas kebajikan. Situasi ini menyebabkan mobilisasi sukarelawan pada waktu kritikal sering berdepan kesukaran.
Cabaran menjadi lebih besar apabila ramai sukarelawan dalam kalangan penjawat awam dan pekerja swasta sukar memperoleh pelepasan cuti untuk terlibat dalam misi bantuan. Bagi penjawat awam, kelulusan Cuti Tanpa Rekod masih tertakluk kepada budi bicara ketua jabatan dan kepentingan perkhidmatan.
Manakala bagi sektor swasta, tiada akta khusus yang mewajibkan syarikat memberikan pelepasan berbayar untuk aktiviti sukarelawan luar. Kebanyakan pekerja terpaksa menggunakan cuti tahunan sendiri atau bergantung kepada ihsan majikan.
Akibatnya, PVAC sering berdepan kekurangan tenaga kerja pada tempoh paling kritikal iaitu 24 hingga 48 jam pertama selepas bencana berlaku. Beban tugas akhirnya tertumpu kepada kelompok sukarelawan tertentu seperti pesara, pelajar universiti atau individu yang tidak mempunyai pekerjaan tetap. Perkara ini turut akan saya bawa ke Parlimen nanti.
Selain isu sumber manusia, kestabilan kewangan juga menjadi cabaran utama. Walaupun menerima sokongan daripada kerajaan negeri, badan korporat dan individu, sumber dana yang diperoleh masih bersifat bermusim dan tidak konsisten.
Dalam masa sama, PVAC turut berdepan persaingan dengan NGO lain untuk mendapatkan sumbangan komuniti yang terhad. Keadaan ekonomi semasa yang tidak menentu juga memberi kesan kepada jumlah tajaan dan bantuan diterima.
Bagaimanapun, hasil pertemuan bersama saya turut membuka ruang kepada beberapa cadangan penambahbaikan yang dilihat mampu memperkukuhkan peranan PVAC pada masa hadapan.
Pengalaman saya dalam pelbagai NGO dalam dan luar negara sejak zaman sekolah menengah lagi banyak membantu.
Antara cadangan saya, ialah mewujudkan protokol mobilisasi rasmi antara JKM dan kerajaan negeri supaya PVAC dapat diiktiraf sebagai skuad tindak cepat bencana rasmi Negeri Perlis.
Langkah ini penting bagi memudahkan pengeluaran surat kerahan rasmi yang boleh digunakan oleh sukarelawan untuk mendapatkan pelepasan tugas daripada majikan.
Selain itu, cadangan turut dikemukakan supaya PVAC didaftarkan secara rasmi di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sebagai NGO rakan strategik bencana di peringkat nasional.
Sukarelawan PVAC juga dicadangkan mengikuti latihan profesional bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat serta agensi berkaitan supaya mereka memiliki kemahiran khusus dalam pengurusan bencana dan bantuan kecemasan.
Dalam pertemuan tersebut, saya turut menyatakan komitmen untuk membantu memperkukuhkan jaringan kerjasama antara PVAC, agensi kerajaan serta sektor korporat demi memastikan gerakan sukarelawan negeri terus relevan dan mampan.
Saya juga menyeru semua ahli parlimen lain untuk membantu entiti seperti PVAC di negeri masing-masing bagi memudahkan urusan ketika bencana.
Hakikatnya, PVAC bukan sekadar sebuah NGO kebajikan biasa, tetapi lambang solidariti rakyat Perlis dalam membantu komuniti yang memerlukan. Di sebalik segala kekangan, para sukarelawan ini tetap hadir ketika masyarakat memerlukan bantuan.
Dengan sokongan lebih tersusun daripada kerajaan, majikan dan masyarakat, PVAC berpotensi menjadi model sukarelawan negeri yang mampu dicontohi di seluruh negara.
*Penulis ialah Ahli Parlimen Padang Besar dan mantan Pengarah Khidmat Malaysia Negeri Selangor