Jerman hantar amaran awal, belasah Curaçao 7-1

Iklan
Jamal Musiala meledak gol keempat ketika Jerman membelasah Curacao 7-1 di Houston. Foto: Agensi

JERMAN memulakan kempen Piala Dunia 2026 dengan langkah kanan apabila membelasah Curaçao 7-1 dalam aksi pembukaan Kumpulan E di Houston awal pagi Isnin, sekali gus mengukuhkan status mereka sebagai antara calon utama untuk menjulang trofi kejuaraan.

Skuad bimbingan Julian Nagelsmann tidak mengambil masa lama untuk membuka jaringan apabila Felix Nmecha meletakkan pasukannya di depan seawal minit keenam.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, Curaçao yang membuat penampilan sulung di pentas Piala Dunia enggan mengalah mudah apabila Livano Comenencia menceriakan penyokong mereka menerusi gol penyamaan pada minit ke-21.

Namun, kegembiraan itu tidak bertahan lama apabila Jerman kembali menguasai perlawanan menerusi corak permainan tersusun dan hantaran pantas yang menyukarkan lawan untuk bertahan.

Iklan

Keunggulan pasukan Eropah itu jelas terserlah apabila mereka mendominasi hampir keseluruhan perlawanan, sekali gus membuktikan jurang kualiti yang besar antara kedua-dua pasukan.

Keserasian pemain Bayern Munich, Jamal Musiala dan Joshua Kimmich, terus menjadi tunjang kepada permainan Jerman apabila kedua-duanya memainkan peranan penting dalam menggerakkan jentera serangan pasukan.

Iklan

Selain kekuatan kesebelasan utama, Nagelsmann turut memperoleh impak positif daripada pemain gantian yang diturunkan pada babak kedua.

Kai Havertz muncul antara pemain paling menyerlah apabila meledak dua gol, termasuk jaringan menarik menerusi sepakan lambung pada penghujung perlawanan.

Deniz Undav turut memanfaatkan peluang yang diberikan dengan menyumbang satu gol dan dua bantuan jaringan, sekali gus memperlihatkan depth skuad dimiliki Jerman.

Dalam pada itu, perlawanan berkenaan turut menyaksikan detik bersejarah buat penjaga gol berpengalaman, Manuel Neuer yang mencatat penampilan dalam Piala Dunia buat kali kelima sepanjang kariernya.

Walaupun gagal mengekalkan rekod tanpa bolos, pengalaman dan kepimpinannya terus menjadi aset penting buat Jerman yang turut menampilkan beberapa pemain muda berbakat.

Bagi Curaçao, kekalahan besar itu tidak menghalang mereka daripada mencipta sejarah tersendiri apabila Comenencia muncul pemain pertama negara berkenaan menjaringkan gol di pentas Piala Dunia.

Biarpun berdepan lawan yang jauh lebih berpengalaman, jaringan itu tetap menjadi detik bermakna buat negara kecil Caribbean berkenaan.

Kemenangan besar itu memberi permulaan sempurna buat Jerman yang kini dilihat berada pada landasan terbaik untuk melangkah jauh dalam kejohanan, sambil menghantar isyarat jelas kepada pencabar lain dalam Kumpulan E, Ivory Coast dan Ecuador.