BERBICARA tentang gaji sememangnya merupakan topik yang sering mendapat perhatian masyarakat. Ini kerana untuk berbelanja, sama ada bagi membeli keperluan asas atau memenuhi aspirasi hidup, seseorang memerlukan wang dan pendapatan.
Tidak kiralah secanggih mana teknologi yang memudahkan urusan transaksi, pendapatan tetap menjadi prasyarat untuk memenuhi kehendak dan keperluan seseorang.
Berdasarkan statistik sedia ada, gaji median bagi pekerja formal ialah RM3,167 sebulan setakat Disember 2025. Angka ini mewakili peningkatan sebanyak 4.0 peratus berbanding Disember 2024.
Secara umumnya, peningkatan pendapatan ini merupakan perkembangan yang positif kepada para pekerja. Namun, gaji yang dinikmati itu dikenali sebagai gaji nominal kerana ia hanya mengambil kira nilai muka pendapatan tanpa mengambil kira perubahan harga barang dan perkhidmatan.
Apa yang sepatutnya diberikan perhatian ialah pendapatan benar, iaitu pendapatan yang diselaraskan dengan perubahan harga barang dan perkhidmatan.
Untuk mengira pendapatan benar, gaji nominal perlu dibahagikan dengan tingkat harga umum. Dalam konteks ini, Indeks Harga Pengguna (IHP) digunakan sebagai penunjuk kepada tingkat harga umum.
Pada Disember 2025, IHP berada pada paras 1.355 mata. Ia boleh diibaratkan sebagai gambaran tingkat harga umum berada pada nilai RM1.355.
Jika dibandingkan dengan IHP pada Disember 2024 yang berada pada paras 1.334 mata, indeks tersebut meningkat sebanyak 1.6 peratus. Peningkatan ini merupakan kadar inflasi iaitu kadar kenaikan harga barang dan perkhidmatan secara keseluruhan.
IHP merangkumi pelbagai kategori barangan dan perkhidmatan seperti makanan, minuman, sewa rumah, kos bahan api, bil elektrik, harga makanan di restoran, kos penjagaan diri dan pelbagai lagi. Setiap kategori diberikan pemberat tertentu sebelum digabungkan untuk menghasilkan IHP atau tingkat harga umum.
Justeru, apabila gaji nominal dibahagikan dengan IHP, maka terhasillah pendapatan benar. Berdasarkan pengiraan tersebut, pendapatan benar pekerja formal adalah sebanyak RM2,337.27 sebulan. Dengan kata lain, bagi setiap RM1 harga barang dan perkhidmatan, kuasa beli pekerja formal adalah bersamaan RM2,337.27.
Langkah seterusnya ialah membandingkan gaji median nominal sebanyak RM3,167 dengan pendapatan benar sebanyak RM2,337.27. Perbezaan antara kedua-duanya ialah RM829.73. Nilai ini menggambarkan hakisan kuasa beli yang berlaku akibat kenaikan harga barang dan perkhidmatan. Hakisan ini tidak dapat dilihat secara langsung, tetapi akan dirasai apabila seseorang mula berbelanja.
Oleh itu, yang manakah lebih penting — gaji atau harga barang? Jawapannya ialah kedua-duanya sama penting. Gaji nominal perlu meningkat pada kadar yang lebih pantas daripada kadar inflasi supaya kuasa beli dapat dipertahankan.
Pada masa yang sama, harga barang dan perkhidmatan perlu bersifat fleksibel, iaitu boleh meningkat atau menurun mengikut keadaan permintaan dan penawaran.
Keadaan ini memerlukan pasaran ekonomi yang cekap, telus dan adil di samping institusi yang mampu menyokong fungsi ekonomi pasaran yang sihat. Oleh itu, perbincangan mengenai gaji tidak boleh dilihat secara terpisah, sebaliknya perlu mengambil kira pelbagai dimensi.
Kesemua faktor ini penting bagi memastikan pengagihan sumber yang terhad dapat dilakukan secara optimum. Pada masa yang sama, ia memerlukan iltizam politik yang tinggi kerana melibatkan dasar-dasar penting yang mungkin perlu disemak semula. Langkah sedemikian penting bagi merealisasikan sistem ekonomi berasaskan pasaran yang lebih cekap, adil dan telus.
*Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid ialah Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad.