ALOR SETAR – Kewujudan sekolah komuniti Rohingya di beberapa lokasi di Kedah bertujuan bagi memastikan kanak-kanak pelarian itu tidak tercicir daripada mendapat pendidikan asas.
Seorang guru yang hanya mahu dikenali sebagai Ayu berkata, sekolah yang beroperasi di Tongkang Yard di sini diwujudkan sebagai ruang pembelajaran untuk anak-anak Rohingya yang tidak mempunyai akses kepada pendidikan formal.
Menurutnya, sekolah berkenaan kini mempunyai kira-kira 40 murid berusia antara enam hingga 12 tahun dengan hanya dua tenaga pengajar yang mengendalikan sesi pembelajaran.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Saya akui salah, tapi jangan sebar fitnah' - Anak pemilik tanah jelas isu penempatan Rohingya
Pemilik bangunan robohkan penempatan Rohingya di Hulu Langat
BAM, GEGAR kemuka enam cadangan urus isu pelarian kepada kerajaan
UNHCR digesa percepat penempatan semula Rohingya - Belia 4B Kedah
KDN, Imigresen buat pengumpulan data biometrik, maklumat pelarian
“Sekolah ini bertujuan memastikan kanak-kanak ini mendapat pendidikan asas dan tidak menghabiskan masa tanpa aktiviti yang bermanfaat, tidak melepak mana-mana tempat,” katanya pada Ahad.
Jelas Ayu, yuran dikenakan antara RM100 hingga RM120 sebulan bagi seorang pelajar dan digunakan bagi menampung kos operasi termasuk sewa premis.
Ayu berkata, pendapatan sebagai guru di sekolah itu juga diperolehi daripada yuran-yuran pelajar Rohingya.
Menurutnya, rumah yang dijadikan sekolah itu pula disewa pada kadar RM500 sebulan.
Ayu yang telah mengajar komuniti Rohingya sejak 15 tahun lalu dan kini membantu mengendalikan sekolah tersebut yang mula beroperasi pada 2023.
Sementara itu, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah mendakwa terdapat kira-kira 70 sekolah komuniti Rohingya yang beroperasi di seluruh negeri ini tanpa mengikuti silibus Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Timbalan Pengerusi GPMS Kedah, Amirul Syahir Musa berkata, anggaran tersebut berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada komuniti setempat yang menuntut perkara berkenaan turut diberikan perhatian serius oleh kerajaan.
Menurutnya, sekolah-sekolah berkenaan terbabit tidak berdaftar dengan pihak berkuasa pendidikan dan tidak menggunakan silibus rasmi KPM sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai pemantauan terhadap kandungan pembelajaran yang diajar.
“Apabila silibus yang digunakan tidak diketahui, kita bimbang terdapat elemen tertentu yang tidak dipantau,” katanya.
Jelasnya, hasil pertanyaan terhadap dua pengajar tersebut mendapati sekolah terbabit tidak berdaftar dengan pihak berkuasa pendidikan.
Amirul Syahir berkata, GPMS Kedah tidak berniat menafikan hak pendidikan mana-mana pihak, namun menegaskan aspek pematuhan undang-undang dan pemantauan kandungan pembelajaran tidak boleh dipandang ringan.
Beliau mendakwa pihaknya menerima maklumat mengenai kewujudan kira-kira sembilan sekolah komuniti Rohingya di sekitar Alor Setar termasuk di Kampung Berjaya, Jalan Gangsa dan Shahab Perdana.
Manakala di seluruh Kedah pula dianggarkan terdapat kira-kira 70 buah sekolah Rohingya dan banyak tertumpu di bandar utama seperti Alor Setar dan Sungai Petani.
“Sekolah-sekolah ini kebanyakannya beroperasi di premis sewaan dan agak tersorok sehingga ramai penduduk setempat tidak mengetahui kewujudannya,” katanya lagi.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Saya akui salah, tapi jangan sebar fitnah' - Anak pemilik tanah jelas isu penempatan Rohingya
Pemilik bangunan robohkan penempatan Rohingya di Hulu Langat
BAM, GEGAR kemuka enam cadangan urus isu pelarian kepada kerajaan
UNHCR digesa percepat penempatan semula Rohingya - Belia 4B Kedah
KDN, Imigresen buat pengumpulan data biometrik, maklumat pelarian