AMPANG - Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun yang dilaporkan hilang selepas dipercayai melarikan diri dari sebuah pusat tahfiz di Ulu Kelang di sini Jumaat lalu, sedang giat dikesan.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, laporan kehilangan itu dibuat oleh ibu remaja terbabit selepas dimaklumkan pihak pengurusan tahfiz berkenaan kehilangan remaja terbabit iaitu Muhammad Daniel Azizan Abdullah.
Menurutnya, ibu remaja itu menerima maklumat berhubung kehilangan anak lelakinya kira-kira jam 8.15 malam ketika berada di rumah.
"Ibu mangsa tidak pasti punca kejadian itu dan pihak tahfiz juga memaklumkan tiada perselisihan faham berlaku.
"Butiran remaja itu ialah ketinggian kira-kira 175 sentimeter, berat 65 kilogram, berbadan kurus dan berkulit cerah," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Tambahnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai remaja berkenaan diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya di talian 03-4289 7222.
Jelasnya, maklumat juga boleh disalurkan terus kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Nur Alia Dyana Raimi di talian 017-651 5201.
Justeru, pihak polis menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa memantau pergerakan anak-anak serta segera menghubungi pihak berkuasa atau talian kecemasan MERS 999 sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini.