ISKANDAR PUTERI – Taktik licik sekumpulan lelaki tempatan memperdaya mangsa menerusi aplikasi media sosial sebelum menyamun dan mencederakan mereka akhirnya terbongkar apabila lima suspek diberkas dalam serbuan di Cameron Highlands, Pahang pada bulan lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, sebanyak sembilan laporan daripada sembilan mangsa antara Januari hingga Mei membabitkan kerugian keseluruhan RM315,220.
Menurut beliau, suspek menggunakan aplikasi tersebut untuk mencari mangsa sebelum mengajak mereka bertemu di dalam kereta.
"Kesemua mangsa menyatakan disamun oleh suspek warga tempatan di sekitar kawasan Taman Pelangi dan Kampung Melayu Majidee Johor Bahru.
“Ketika mangsa berada di dalam kenderaan bersama suspek, beberapa lagi rakan suspek akan menyamar sebagai pengawal keselamatan dan menuduh mangsa melakukan aktiviti tidak sopan di tempat awam.
“Mangsa kemudian diugut, dicederakan serta dipaksa menyerahkan barangan peribadi termasuk kad debit dan kredit, barang kemas serta wang tunai," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri pada Ahad.
Beliau berkata, suspek turut mendapatkan kata laluan kad bank mangsa sebelum mengeluarkan wang daripada akaun dan membuat pembelian barang kemas.
"Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan menahan lima lelaki tempatan berusia antara 21 hingga 28 tahun di Brinchang, Cameron Highlands pada 30 Mei lalu.
"Dalam serbuan itu, polis merampas lima telefon bimbit, sebuah kereta Perodua Bezza, resit pembelian emas, lima kad debit serta pelbagai barang kemas dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan jenayah tersebut," katanya.
Ab Rahaman memberitahu semakan mendapati kesemua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan samun dan dadah, namun ujian saringan air kencing menunjukkan keputusan negatif.
"Aplikasi sosial tersebut dipercayai merupakan rangkaian sosial temu janji bagi lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
"Kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Pendakwaan Negeri Johor dan tiga daripada suspek dituduh pada Isnin, bagi tujuh pertuduhan setiap seorang mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
“Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda atau sebatan,” katanya.
Beliau berkata, polis kini sedang mengesan seorang lagi suspek lelaki tempatan bagi membantu siasatan.
Dalam pada itu, Polis Johor menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang jenayah yang mengancam keselamatan awam dan menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah menerusi talian hotline Polis Johor 019-2792095 atau Bilik Gerakan 07-2212999.