SHAH ALAM - MCA mendesak Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching memberi penjelasan segera, sama ada Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) kini digunakan untuk melabel pengkritik kerajaan sebagai 'Cina sesat' susulan kenyataan Ketua JKOM baharu dilantik, Mohd Hisyamuddin Ghazali atau lebih dikenali sebagai Syam Ghaz.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, J-KOM berada di bawah Kementerian Komunikasi dan justeru Nie Ching tidak boleh berdiam diri seolah-olah perkara itu tiada kaitan dengan beliau.
Menurutnya, beberapa persoalan perlu dijawab termasuk sama ada kenyataan berkenaan merupakan pendirian rasmi Kementerian Komunikasi atau ia kini menjadi standard baharu komunikasi kerajaan Madani.
"Lebih mengecewakan, Teo Nie Ching bukan sahaja Timbalan Menteri Komunikasi, tetapi juga pemimpin DAP dan Timbalan Pengerusi DAP Johor. Maka DAP juga mesti menjawab," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Sebelum ini, Ka Siong turut memuat naik dua tangkap layar hantaran Syam Ghaz, termasuk yang menggunakan istilah 'Cina sesat' terhadap pengkritik kerajaan.
Dalam perkembangan sama, Ka Siong turut mempersoalkan sikap DAP yang didakwanya berdiam diri, sedangkan parti tersebut biasanya lantang membangkitkan isu agama, raja dan kaum (3R), perpaduan nasional dan keharmonian kaum apabila melibatkan pihak pembangkang.
Justeru, beliau memaklumkan, MCA menuntut Nie Ching dan Kementerian Komunikasi menyatakan sama ada kenyataan Ketua JKOM itu boleh diterima atau tidak.
"Selain itu, MCA turut menggesa Syam Ghaz memohon maaf secara terbuka atau dipecat, menjelaskan sama ada tindakan tatatertib akan diambil serta memberi jaminan bahawa J-KOM tidak akan digunakan sebagai jentera propaganda partisan yang dibiayai wang rakyat," tegasnya.
Menurutnya lagi, Malaysia tidak memerlukan agensi komunikasi kerajaan yang bertindak seperti 'cybertrooper' parti politik yang bersifat perkauman.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa turut berpandangan Ketua Pengarah J-KOM perlu memohon maaf berhubung penggunaan istilah tersebut.
Menurut beliau, penggunaan perkataan 'Cina sesat' terhadap dua individu berbangsa Cina adalah tidak wajar dan berbaur perkauman.
Anuar berpandangan, sebagai penjawat awam, Ketua Pengarah J-KOM perlu menunjukkan contoh yang baik dan tidak sepatutnya menghina sesiapa atas nama kaum.
"J-KOM adalah jabatan kerajaan yang bertanggongjawab menjelaskan dasar dasar kerajaan,bukan bertindak emosi di media sosial.
"Dalam negara ini kita tidak perlukan sikap kebencian melampau apa lagi atas nama kaum atau bangsa. Islam menolak perkauman dan sikap assabiyah," kata beliau.