SHAH ALAM - Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad mendakwa Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bertindak seperti 'Supreme Leader 'dalam Perikatan Nasional (PN) susulan dua keputusan penting diumumkan pada Sabtu.
Menurut beliau, keputusan melantik Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebagai Ketua Pembangkang dan penggunaan logo PN oleh parti Hamzah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor serta Negeri Sembilan tidak dibuat melalui Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN.
Beliau berkata, keputusan pertama juga dilihat bertentangan dengan keputusan MT PN yang melantik Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Ketua Pembangkang.
ARTIKEL BERKAITAN: Parti Wawasan Negara bertanding PRN Johor, Negeri Sembilan
Hamzah umum tubuhkan Parti Wawasan Negara
Pas setuju kekalkan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang
Musyawarah, SD pilih Hamzah Ketua Pembangkang - Abdul Hadi
PN terbuka terima Parti Wawasan Negara
"Apabila PN menjadi kerajaan kelak, wartawan tidak perlu menunggu di Putrajaya pada hari Rabu untuk mengetahui keputusan kabinet. Tunggu saja di Rusila pada hari Jumaat," katanya dalam satu hantaran Facebook pada Sabtu.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Pas dan Gerakan Reset pada Sabtu mencapai persetujuan untuk mengekalkan Ahli Parlimen Larut sebagai Ketua Pembangkang.
Abdul Hadi berkata, keputusan itu dibuat bagi memastikan kesinambungan kepimpinan pembangkang di bawah struktur sedia ada, selain mengekalkan kestabilan kerjasama antara parti-parti dalam blok berkenaan.
Pada masa sama, Ahmad Samsuri turut dikekalkan sebagai Pengerusi PN dalam satu pengumuman dibuat Abdul Hadi ketika Konvensyen Reset Malaysia di Kota Harmoni, Tanah Merah, Kelantan.
Marzuki turut menambah, meskipun Abdul Hadi bukan Ahli MT PN, beliau dilihat mempunyai kuasa besar dalam menentukan keputusan gabungan itu.
"Tak mungkin Pengerusi PN yang merupakan Naib Presiden Pas tidak memasukkan kedua-dua perkara di atas sebagai agenda dalam mesyuarat MT PN akan datang," ujarnya lagi.
Beliau menjelaskan, hal ini memandangkan kedudukan Ahmad Samsuri sebagai Pengerusi PN turut bergantung kepada ihsan Presiden Pas tersebut.