JAKARTA – Hasrat seorang remaja perempuan untuk merakam gambar di lokasi pelancongan bertukar tragedi apabila dia dilaporkan terjatuh ke laut sebelum ditemukan meninggal dunia akibat lemas.
Insiden itu berlaku di kawasan pelancongan Tebing Apparalang di Bulukumba, Sulawesi Selatan, sekitar pukul 2.30 petang waktu tempatan kelmarin.
Iklan
Iklan
Menurut pegawai tempatan, Andi Hasbullah, mangsa yang dikenali sebagai Elmi Febrianti, 17, berada di lokasi tersebut bersama seorang rakannya untuk bergambar di salah satu sudut popular dalam kalangan pengunjung.
Bagaimanapun, keadaan bertukar cemas apabila ombak besar secara tiba-tiba menghempas kawasan tebing berkenaan sehingga menyebabkan mangsa hilang keseimbangan dan terjatuh ke dalam laut.
“Berdasarkan maklumat yang diperoleh, mangsa dipercayai terkena hempasan ombak ketika berada di pinggir tebing sebelum terjatuh ke laut,” katanya.
Kejadian itu sempat dirakam dan video insiden berkenaan kemudian tersebar luas di media sosial.
Pasukan mencari dan menyelamat yang digerakkan ke lokasi berjaya menemukan Elmi pada hari sama, namun mangsa disahkan telah meninggal dunia. – Agensi