MELAKA - Festival Rasa dan Warisan 2026 (FRW) yang menggabungkan elemen budaya serta makanan tradisional akan diadakan selama tiga hari bermula 19 hingga 21 Jun ini di Pekarangan B, Stadium Hang Jebat, Krubong.
Pengarah program, Salasiah Ramdhiah Ahmad berkata, festival yang dijangka menarik lebih 20,000 pengunjung itu diadakan dalam usaha memartabatkan warisan negara selain memperkenalkannya kepada generasi muda.
Menurutnya, antara pengisian program termasuk penganjuran Malam Qasidah yang menampilkan kolaborasi persembahan antara orang kurang upaya (OKU) dan masyarakat umum.
“Antara tarikan lain termasuk demonstrasi masakan oleh chef jemputan, pameran tulisan khat, pameran warisan serta pengenalan kuih-muih tradisional dari pelbagai negeri di Malaysia.
“Festival FRW 2026 turut dimeriahkan dengan persembahan artis antaranya Zaiton Sameon, Mimifly, Elly Xceed, Ayu Damit, Caliph Buskers dan Yasser Atak,” katanya.
Beliau berkata, selain mengetengahkan warisan, festival itu turut membantu merancakkan ekonomi setempat dengan penyertaan 100 vendor daripada pelbagai kategori, termasuk jualan makanan, produk pertanian, kraftangan dan pameran.
“Festival yang berlangsung dari jam 10 pagi hingga 11.30 malam itu turut membuka peluang kepada usahawan kecil dan sederhana, termasuk usahawan wanita, untuk mempromosikan produk mereka.
“Kami mengalu-alukan mana-mana pihak yang mahu menyertai program ini. Pengunjung yang membuat pembelian minimum RM30 turut berpeluang memenangi pelbagai hadiah menerusi cabutan bertuah ditawarkan,” katanya.