PASUKAN kebangsaan Haiti terpaksa menukar jersi mereka pada saat akhir menjelang aksi pembukaan Piala Dunia 2026 selepas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) tidak meluluskan reka bentuk asal yang didakwa mengandungi unsur berkaitan sejarah perjuangan kemerdekaan negara itu.
Keputusan tersebut mencetuskan perhatian apabila badan induk bola sepak dunia itu menegaskan reka bentuk berkenaan tidak menepati peraturan berkaitan berkecuali politik dalam pertandingan antarabangsa, sekali gus memaksa Haiti menggunakan kit alternatif sebelum sepak mula.
Iklan
Iklan
Syarikat pengeluar jersi, Saeta bagaimanapun mempertahankan reka bentuk tersebut dengan menegaskan ia bukan satu bentuk kenyataan politik, sebaliknya penghormatan kepada sejarah dan rakyat Haiti.
“Ia merupakan penghormatan kepada generasi yang membina masa depan Haiti setiap hari, bukan satu kenyataan politik,” menurut kenyataan itu.
Mereka turut menjelaskan warna biru pada jersi melambangkan laut yang mengelilingi Haiti, manakala merah membawa maksud kekuatan, keberanian dan semangat rakyat negara Caribbean itu.
Kontroversi itu turut menghidupkan semula perdebatan mengenai garis sempadan antara simbol budaya dan unsur politik dalam sukan antarabangsa, dengan Haiti sebelum ini pernah berdepan isu sama melibatkan imej tokoh revolusi Toussaint Louverture pada acara Olimpik.
Di sebalik isu tersebut, Haiti tetap meneruskan persiapan kempen Piala Dunia 2026 dengan aksi pembukaan menentang Scotland di Foxborough esok (9 pagi waktu Malaysia) sebelum berdepan Brazil dan Maghribi dalam saingan Kumpulan C.