Lagi-lagi AI

Iklan
Usahawan perlu mendekati AI, mempelajari dengan lebih mendalam manfaat serta risikonya dan membuat keputusan sejauh mana AI boleh digunakan untuk meningkatkan daya saing perniagaan - Foto fail Bernama

SAYA baru menghadiri satu persidangan akauntan antarabangsa di Kuala Lumpur. Seperti yang boleh dijangkakan, topik-topik berkenaan kesan penggunaan kecerdasan buatan (artificial intelligence - AI) menjadi fokus utama persidangan kali ini.

Apa yang dibincangkan bukan lagi sekadar untuk menyedarkan hadirin berkenaan AI, tetapi banyak pakar yang dijemput membincangkan pengalaman mereka dalam penggunaan AI, cabaran yang dihadapi, kesannya terhadap perniagaan dan apa yang harus dilakukan oleh perniagaan serta pengurusnya untuk mendapatkan manfaat AI dengan lebih menyeluruh.

Iklan
Iklan

Ada beberapa perkara menarik yang ingin saya kongsikan di sini.

Kerja-kerja rutin dan berulang merupakan bidang yang mudah untuk digantikan dengan AI. Ini merupakan mesej yang jelas daripada hampir kesemua pakar yang hadir. Oleh kerana proses-proses berkenaan biasanya menggunakan sumber yang banyak, penggunaan AI bagi menggantikan manusia dalam kerja-kerja rutin ini akan mempercepatkan proses dan, dalam masa yang sama, membolehkan ahli pasukan perniagaan melakukan kerja yang mempunyai nilai tambah yang lebih tinggi.

Iklan

Ahli pasukan perlu disedarkan bahawa mereka perlu meningkatkan ilmu serta kemahiran dalam bidang yang keputusan kritikalnya masih memerlukan campur tangan manusia. Apa yang menarik untuk dikongsikan ialah seseorang yang mampu mengurus dengan baik sebelum AI diperkenalkan akan menjadi ahli pasukan yang lebih bernilai apabila AI digunakan dalam perniagaan. Hal ini kerana kemahiran merancang, melaksana dan membuat keputusan merupakan kerja bernilai tinggi yang masih diperlukan.

Peningkatan daya untuk menambah nilai ini tidak akan berlaku secara sendiri. Pihak pengurusan hendaklah merangka program pembangunan modal insan serta memberikan latihan yang secukupnya. Pelaksanaan AI tidak bermakna peningkatan kecerdasan insan harus dihentikan. Malah, kecerdasan insaniah tahap tinggi amat penting dalam penggunaan AI.

Iklan

Strategi pelaksanaan AI juga perlu dirangka agar ia tidak dilakukan secara rawak sehingga menjadikan perniagaan kelam-kabut. Sekiranya perlu, pakar dari luar yang mempunyai rekod pelaksanaan yang baik boleh dijadikan rujukan agar pelaksanaan AI dalam perniagaan bukan sahaja berkesan tetapi juga pada kos yang optimum.

Oleh yang demikian, usahawan perlu mendekati AI, belajar dengan lebih mendalam manfaat serta risikonya, dan membuat keputusan sejauh mana AI boleh digunakan untuk meningkatkan daya saing perniagaan. Kita perlu ingat, sekiranya pesaing mendahului kita dalam penggunaan AI, perniagaan kita boleh ketinggalan dan hilang daya saing.

Satu amaran yang diberikan oleh beberapa pakar ialah penggunaan AI secara persendirian oleh ahli pasukan perniagaan tanpa diketahui dan diurus dengan betul. Sudah ada beberapa kes di mana perniagaan menghadapi masalah dengan pelanggan dan pihak berkepentingan lain kerana AI yang digunakan secara persendirian itu membawa masalah kepada pelanggan dan pihak luar.

Disebabkan AI itu sendiri berkembang dengan pesat, perniagaan tidak boleh leka dengan apa yang ada. Sudah tentu usahawan tidak mahu melabur dalam AI yang boleh menjadi lapuk dalam tempoh yang singkat. Namun, realitinya ialah kepesatan pembangunan AI itu sendiri sudah menjadi risiko besar kepada kebanyakan perniagaan.

Oleh itu, jika anda mendengar AI disebut di sana sini, ia menandakan bahawa penggunaannya semakin meluas dan tidak boleh dielakkan lagi. Apa yang perlu dielakkan ialah penggunaan tanpa perancangan. Jangan sampai usahawan menggunakan solusi yang mencari masalah. Itu berbahaya.