SHAH ALAM – Buat julung kalinya, Malaysian Women’s Coalition for Al-Quds and Palestine (MWCQP) dan Asia Pacific Women’s Coalition for Al-Quds and Palestine (ApWCQP) bakal menganjurkan program Women Summit & Women #QuranHour: Women of Grit pada 24 Jun ini di Auditorium Dahlia, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.
Program yang akan berlangsung dari jam 9 pagi hingga 1 tengah hari itu menyasarkan penyertaan seramai 500 peserta.
Ia merupakan sebahagian daripada inisiatif Saff Women Empowerment yang dilancarkan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) sempena World #QuranConvention Surah Al-Saff pada Disember 2025.
Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, program kali ini akan membawa mesej bahawa wanita bertauhid bukanlah individu yang tidak pernah jatuh tetapi sentiasa bangkit kerana hatinya bergantung kepada ALLAH.
Menurutnya, di sebalik kelembutan seorang wanita, tersimpan kekuatan luar biasa untuk memimpin diri, menguatkan keluarga dan membina peradaban.
"Apabila wanita kembali kepada al-Quran, mereka bukan sahaja menyembuhkan diri sendiri, malah mampu menjadi 'selimut Khadijah' yang menghangatkan dan menguatkan seluruh ummah.
"Program ini juga dijangka menjadi platform penting bagi menyemarakkan budaya baca, faham dan amal al-Quran.
"Selain itu, ia diharap dapat memperkukuhkan peranan wanita sebagai pemangkin kesejahteraan keluarga dan masyarakat menuju Malaysia yang lebih berakhlak, berdaya tahan dan berteraskan nilai-nilai al-Quran, katanya kepada Sinar Harian.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, pada majlis yang sama 'The Khadijah Blanket' akan dilancarkan bagi mengangkat semangat dari peristiwa agung latarbelakang Surah Al- Muzammil.
Jelasnya, Saidatina Khadijah RA menjadi sumber ketenangan, perlindungan dan kekuatan kepada Rasulullah SAW ketika menerima wahyu pertama.
"Rasulullah SAW meminta agar 'Zammiluni' atau maksudnya untuk selimutkan Baginda. Selimut Khadijah bukan sekadar kain yang menyelimuti tubuh, tetapi simbol kasih sayang, keyakinan, keteguhan dan sokongan yang menguatkan jiwa dalam menghadapi cabaran besar seorang wanita.
"Inspirasi ini diperkukuhkan dengan ketabahan wanita Palestin yang terus berdiri teguh dalam ujian, mempertahankan keluarga, membina generasi dan memelihara iman walaupun berhadapan kehilangan, kesedihan dan penderitaan yang luar biasa," katanya.
Tambah Marhaini, antara perkara menarik yang disediakan adalah peserta akan dibimbing untuk memahami peranan al-Quran, pelbagai perkongdian kisah inspirasi wanita hebat dan pengalaman tadabbur di Women #QuranHour yang menyentuh hati
"Peserta juga akan didedahkan dengan perspektif baharu tentang peranan wanita membawakan 'Emotional Safety' dan jaringan wanita berinspirasikan al-Quran.
"Oleh itu, kami mengalu-alukan lebih ramai wanita untuk menyertai dan hadir ke program ini, jangan lepaskan peluang yang ada," ujarnya.