BANGKOK - Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra dibebaskan secara rasmi selepas menerima pengampunan diraja pada minggu lalu, menurut Jabatan Pemulihan Thailand pada Selasa.
Bagaimanapun, beliau berdepan kemungkinan diisytiharkan muflis selepas Jabatan Hasil Dalam Negeri dijangka mahu mendapatkan semula tunggakan cukai berjumlah 17.6 bilion baht (RM2.2 bilion).
Pemangku Ketua Pengarah jabatan itu, Somsak Anuntawat berkata, pihaknya meneruskan usaha kutipan selepas keputusan Mahkamah Agung yang mengekalkan taksiran cukai tersebut terhadap Thaksin.
Langkah itu termasuk mengeluarkan notis pembayaran dan menyiasat aset yang boleh disita atau dibekukan bagi menjelaskan hutang cukai berkenaan.
Menurutnya, jabatan itu kini sedang mengesan aset Thaksin di dalam dan luar negara serta bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi melaksanakan tindakan penguatkuasaan.
“Kami akan mempertimbangkan untuk memulakan prosiding kebankrapan terhadap Thaksin jika kesemua langkah penguatkuasaan dan liabiliti cukai tertunggak masih gagal dijelaskan sepenuhnya," menurutnya lagi.
Pada akhir tahun lalu, Mahkamah Agung mengembalikan penalti cukai berkaitan penjualan syarikat telekomunikasi milik Thaksin, Shin Corporation kepada Temasek Holdings pada 2006, sekali gus membatalkan keputusan terdahulu yang mengetepikan tuntutan Jabatan Hasil Dalam Negeri.
Penjualan syarikat itu bernilai AS$1.9 bilion (RM235 juta) yang dilaksanakan tanpa sebarang pembayaran cukai mencetuskan gelombang protes dan akhirnya membawa kepada penyingkiran Thaksin menerusi rampasan kuasa tentera pada tahun sama.
Tuntutan cukai berkenaan menghidupkan semula pertikaian lama berhubung cukai pendapatan peribadi yang tidak dibayar, sekali gus membolehkan proses penguatkuasaan diteruskan.
Thaksin, 76, menjalani hukuman penjara selama lapan bulan daripada tempoh hukuman setahun atas kesalahan rasuah dan penyalahgunaan kuasa sebelum dibebaskan secara parol bulan lalu atas faktor usia serta keadaan kesihatannya. - Agensi