KOTA BHARU – Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) menyifatkan keputusan Pas menamatkan hubungan politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menguatkan dakwaan bahawa parti itu tidak pernah setia kepada mana-mana gabungan yang disertainya.
Khalid Abdul Samad berkata, corak politik sedemikian bukan perkara baharu kerana pernah berlaku dalam beberapa gabungan politik yang disertai Pas sebelum ini.
Menurutnya, parti itu dilihat cenderung menjalin kerjasama apabila ia memberi manfaat politik, namun hubungan tersebut akhirnya terputus apabila keadaan tidak lagi memihak kepada mereka.
“Pas bergabung, ambil manfaat, lepas itu cantas dan Pas ceraikan, perkara ini berlaku berulang kali,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perhimpunan Pagi Pengerusi bersama Warga Kada di Dewan Serbaguna, Ibu Pejabat Kada di sini pada Selasa.
ARTIKEL BERKAITAN: Pas putus hubungan politik dengan Bersatu serta-merta
Pas perjelas punca putus hubungan dengan Bersatu
Tun Faisal namakan siapa dikatakan kem ulama tidak bersetuju - Ahmad Fadhli
Pada Isnin, Pas membuat keputusan menamatkan kerjasama politik dengan Bersatu sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi mengenai masa depan kerjasama parti-parti pembangkang menjelang pilihan raya akan datang.
Mengulas lanjut, Khalid berkata, rakyat perlu menilai sendiri corak politik yang diamalkan parti berkenaan berdasarkan rekod kerjasamanya dengan beberapa gabungan politik sebelum ini.
“Cakap saja Islam tapi tidak menghayati corak politik Islam yang mengutamakan pendamaian,” katanya.
Khalid turut mendakwa Pas pada ketika ini berbeza berbanding ketika era kepimpinan Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Khalid pernah menjadi Anggota Jawatankuasa Pas Pusat bermula 1987 sehingga 1995 dan memegang jawatan penting dalam Pas termasuk sebagai Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor serta anggota Jawatankuasa Kerja Pas Pusat bagi penggal 2013 sehingga 2015, sebelum keluar parti dan mengambil keputusan menyertai Amanah.