105 individu ditahan atas pelbagai kesalahan

Iklan
Dzulkhairi Mukhtar


JOHOR BAHRU - Seramai 314 individu diperiksa dalam serbuan operasi bersepadu wilayah Iskandar membabitkan premis perniagaan yang beroperasi 24 jam.

Pemeriksaan terhadap 238 lelaki dan 75 wanita itu turut dilakukan di pusat hiburan di Bukit Indah, Nusa Bestari, Gelang Patah dan Kangkar Pulai.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, daripada jumlah itu, seramai 105 individu ditahan atas pelbagai kesalahan jenayah dan dadah.

"Seramai 69 lelaki telah ditahan atas kesalahan di bawah Seksyen 61(c) Akta Imigresen 1959/63, dua lelaki ditahan atas kesalahan di bawah Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966, seorang lelaki ditahan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan tiga lelaki ditahan di bawah Seksyen 55 B Akta Imigresen 1959/63 kerana mengajikan pekerja asing tanpa permit.

"Manakala tujuh perempuan ditahan atas kesalahan di bawah Peraturan 39b Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas dan Seksyen 55 B Akta Imigresen 1959/63 kerana mengajikan pekerja asing tanpa permit,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri di sini, hari ini.

Menurutnya, seramai sembilan lelaki ditahan di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana disyaki positif dadah.

"Tiga lelaki pula ditahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sembilan lelaki ditahan di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

"Dalam operasi ini juga, polis berjaya menahan dua perempuan yang mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Selain itu, katanya, hasil operasi di kawasan Tanjung Kupang, dekat Gelang Patah, polis berjaya membuat rampasan empat buah motosikal yang dilaporkan hilang di Johor Bahru Utara, Kulai dan Sungai Petani di Kedah.

"Kesemua ditangkap dibawa ke IPD Iskandar Puteri untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Iklan
Iklan
Iklan
Iklan