SHAH ALAM – Bantuan guaman syarie percuma disediakan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mendapat sambutan apabila merekodkan seramai 1,004 penerima khidmat, tahun lalu.
Ketua Bahagian Syariah dan Bantuan Guaman (BSBG) MAIS, Puteri Ummi Kartini Abd Latiff berkata, setakat Mei tahun ini pula, ia mencatatkan seramai 519 individu.
Beliau berkata, perkhidmatan itu diberi kepada warga Malaysia yang pemastautin di Selangor serta tergolong dalam Kumpulan B40 dengan pendapatan di bawah RM3,000 sebulan.
“Sebelum ini bantuan guaman kategori umum hanya meliputi 16 jenis kes seperti perceraian, fasakh, nusyuz, nafkah anak, wali hakim dan pengesahan nikah.
“Kini, BSBG MAIS meluaskan lagi skop perkhidmatan bantuan guaman syarie ini kepada semua jenis kes mal atau kekeluargaan di seluruh Mahkamah Syariah di negeri ini,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Beliau berkata, BSBG yang dahulunya dikenali sebagai Unit Guaman Syarie (UGS) di bawah Bahagian Undang-Undang Keluarga, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), ketika ini mempunyai 11 peguam syarie bertauliah.
Katanya, pasukan peguam itu mengendalikan kes di kesemua 12 daerah di Selangor termasuk kes yang membabitkan golongan asnaf dan mualaf.
Demi memperluaskan akses kepada golongan sasaran, beliau berkata, pasukan peguam BSBG MAIS turut turun padang, bagi memberikan khidmat nasihat guaman percuma menerusi klinik-klinik guaman syarie di seluruh negeri.
Selain itu, katanya, MAIS turut memanfaatkan platform digital seperti K-Guam dan pod siar ‘Sembang Kes Syariah’ yang disiarkan setiap bulan menerusi saluran media rasmi MAIS.
Katanya, ia bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai hak dan prosedur perundangan syariah.