WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Isnin menggesa Iran dan Israel menamatkan pertempuran selepas kedua-dua seteru itu saling berbalas serangan hingga meningkatkan semula ketegangan di Asia Barat.
"Teheran dan Tel Aviv perlu hentikan tembakan serta-merta," tegasnya menerusi catatan di platform Truth Social.
Iklan
Iklan
Trump juga menyatakan 'rundingan terakhir' ke arah perdamaian masih diteruskan, namun boleh terjejas akibat 'kebodohan' pihak tertentu.
Perkembangan terbaharu konflik itu dilihat mencerminkan kegagalan Trump mempengaruhi sekutu kuatnya, Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu supaya tidak meneruskan tindakan ketenteraan.
Ia jelas membuktikan hubungan antara kedua-duanya yang semakin tegang sejak pemimpin Republikan tersebut menghamburkan kata-kata kesat terhadap Netanyahu atas kedegilannya yang 'gila berperang'.
Teheran melancarkan serangan balas selepas berulang kali mengingatkan bahawa ia tidak akan berdiam diri terhadap pengeboman berterusan Zionis ke atas Lubnan.
Situasi itu menyaksikan harga minyak dunia melonjak lebih lima peratus berikutan kebimbangan bahawa perang mungkin tercetus semula, sekali gus memusnahkan harapan untuk menamatkan kebuntuan yang telah mengekang laluan perdagangan maritim melalui Selat Hormuz. - AFP