'Anthony Loke jangan keliru tanggungjawab negara dan kerjasama politik' - Pemuda UMNO

Iklan
Noor Azleen berkata, pendirian tersebut tidak berasaskan sentimen perkauman, sebaliknya berpunca daripada perbezaan prinsip, nilai dan hala tuju politik.

JOHOR BAHRU – Pemuda UMNO Johor mempertahankan pendirian Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang menegaskan beliau tidak akan bekerjasama atau duduk semeja dengan DAP kerana perbezaan ideologi politik.

Ketuanya, Noor Azleen Ambros berkata, pendirian tersebut tidak berasaskan sentimen perkauman, sebaliknya berpunca daripada perbezaan prinsip, nilai dan hala tuju politik antara UMNO serta Barisan Nasional (BN) dengan DAP.

Iklan
Iklan

"Perbezaan pandangan politik tidak seharusnya disamakan dengan sentimen perkauman,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau turut mendakwa perbezaan antara UMNO dan DAP adalah jelas, termasuk pendirian DAP masih berpegang kepada konsep Malaysian Malaysia yang mana menurutnya, tidak selari dengan semangat Perlembagaan Persekutuan yang dipertahankan UMNO dan BN.

Iklan

Mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang membandingkan isu itu dengan kehadiran pemimpin UMNO dan DAP dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, Noor Azleen berkata, perbandingan tersebut tidak tepat.

Menurutnya, Anthony Loke keliru dalam membezakan antara tanggungjawab kepada negara dan pilihan kerjasama politik.

Iklan

Beliau menjelaskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menghadiri Mesyuarat Jemaah Menteri atas kapasiti rasmi sebagai anggota pentadbiran kerajaan dan bukan berdasarkan pilihan politik peribadi.

“Dalam melaksanakan amanah kepada negara, seseorang pemimpin tidak boleh memilih siapa yang berada dalam mesyuarat atau duduk semeja dengannya.

“Sebaliknya, dalam soal kerjasama politik, setiap parti mempunyai hak untuk menentukan pendirian dan memilih rakan kerjasama berdasarkan prinsip, ideologi serta nilai perjuangan masing-masing,” katanya.