DUA nama, dua gadis muda dan dua masa depan yang diragut dengan kejam.
Nurfisya Zulkifly dan Nur Syuhada Johari mungkin datang daripada latar kehidupan yang berbeza, namun kedua-duanya dipertemukan dalam satu titik hitam yang sama iaitu menjadi mangsa kepada manusia yang gagal mengawal emosi, obsesi dan nafsu sendiri.
Apa yang lebih menakutkan, tragedi seperti ini semakin membuatkan masyarakat menjadi lali. Hari demi hari kita membaca berita wanita dipukul, diugut, didera malah dibunuh hanya kerana cinta ditolak, hubungan berakhir atau ego pasangan tercabar.
Masalah terbesar dunia moden bukan lagi sekadar kemiskinan material, tetapi kemiskinan jiwa. Manusia semakin canggih teknologi, tetapi semakin gagal mengurus emosi. Hari ini ramai anak muda tahu bercinta, tetapi tidak tahu menerima penolakan.
Mereka tahu mengejar perhatian manusia, tetapi tidak tahu menenangkan hati dengan Tuhan. Mereka diajar bagaimana mendapatkan seseorang, tetapi tidak diajar bagaimana melepaskan dengan reda apabila hubungan tidak lagi diterima.
Lalu apabila ego tercalar, sebahagian manusia mula melihat cinta sebagai hak milik mutlak. Maka di sinilah bermulanya tragedi.
Obses terhadap pasangan
Dalam psikologi moden, keadaan seperti ini dikaitkan dengan obsesi cinta, ketidakstabilan emosi, trauma, gangguan personaliti dan kegagalan regulasi emosi.
Individu yang obses sering melihat pasangan sebagai “milik” mereka. Penolakan pula dianggap ancaman kepada identiti dan harga diri.
Apabila nafsu, ego dan kemarahan menguasai hati, manusia hilang sifat rahmah. Dia tidak lagi melihat manusia lain sebagai amanah ALLAH, tetapi sebagai alat untuk memenuhi keinginan dirinya.
Oleh sebab itu kita melihat bagaimana seseorang sanggup menikam, mengelar atau membunuh orang yang kononnya dicintai. Itu bukanlah cinta melainkan ia kerakusan emosi yang memakai topeng cinta.
Budaya moden sumbang cinta toksik
Lebih membimbangkan, budaya moden hari ini turut menyumbang kepada lahirnya cinta toksik. Filem, drama dan media sosial sering menggambarkan sifat mengongkong, cemburu melampau dan mengejar seseorang secara obsesif sebagai sesuatu yang romantik.
Lelaki yang terlalu posesif pula dianggap lelaki setia manakala wanita pula kadangkala dipersalahkan apabila cuba menjauhkan diri. Akhirnya masyarakat gagal membezakan antara cinta dan kawalan.
Baginda mengajar kasih sayang melalui rahmah, kelembutan dan penghormatan terhadap maruah manusia.
Namun hari ini ramai manusia mahu dicintai, tetapi tidak mahu belajar adab mencintai. Inilah krisis psikospiritual paling besar generasi moden.
Pandang ringan kesihatan mental
Kes seperti Nurfisya dan Nur Syuhada juga menunjukkan bahawa kesihatan mental dan spiritual tidak boleh dipisahkan.
Masyarakat sering memandang ringan tanda awal kerosakan emosi seperti sikap terlalu mengawal, ancaman, ugutan, cemburu melampau dan obsesi.
Semua ini dianggap masalah pasangan biasa sedangkan itulah bibit awal kepada keganasan. Ramai manusia sebenarnya tidak benar-benar kuat. Mereka hanya pandai menyembunyikan kelemahan emosi.
Sedikit penolakan sudah cukup membuat mereka hilang arah. Sedikit kecewa sudah cukup membuat mereka membenci dunia.
Dalam psikospiritual Islam, manusia yang kuat bukanlah yang menang ketika bergaduh, tetapi yang mampu mengawal dirinya ketika marah.
Akhirnya kemarahan yang tidak dirawat bertukar menjadi kebencian dan kebencian yang tidak dikawal akhirnya meledak menjadi keganasan.
Lebih menyedihkan, mangsa biasanya ialah wanita muda yang sedang membina masa depan. Mereka mempunyai impian, cita-cita dan keluarga yang menyayangi mereka.
Namun semuanya dirampas oleh manusia yang gagal mengawal nafsu sendiri.
Kita perlu berhenti melihat tragedi seperti ini sebagai kes terpencil semata-mata. Ia sebenarnya simptom kepada penyakit sosial yang semakin parah.
Apabila manusia semakin jauh daripada agama, hati menjadi semakin kosong dan hati yang kosong akan cuba diisi dengan ego, kemarahan, ketagihan emosi dan obsesi.
Kita juga memerlukan pendidikan jiwa. Anak-anak perlu diajar tentang pengurusan emosi, hormat kepada wanita, kawalan nafsu, adab hubungan dan hubungan dengan ALLAH sejak kecil lagi.
Tragedi Nurfisya dan Nur Syuhada merupakan jeritan sunyi kepada masyarakat bahawa kita sedang berhadapan dengan generasi yang ramai mengalami kekosongan spiritual.
***PROF MADYA DR ZAIZUL AB RAHMAN merupakan Pensyarah Kanan Pusat Kajian Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia