KUALA LUMPUR - Menyedari trend masyarakat yang semakin cenderung kepada penulisan emosi dan penyembuhan diri, Grup Buku Karangkraf tampil dengan produk baharu iaitu jurnal atau buku catatan harian sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) kali ini.
Penolong Pengurus Pembangunan Jualan dan Pameran Grup Buku Karangkraf, Norhaslinda Izham berkata, produk baharu yang dikenali ‘Jurnal Quite Luxury’ itu menampilkan empat pilihan reka bentuk kulit yang dihasilkan berdasarkan pemerhatian terhadap tingkah laku dan kecenderungan pengguna.
Menurutnya, jurnal tersebut tampil dengan kandungan sepenuhnya dalam bahasa Inggeris serta memuatkan pelbagai kata-kata hikmah dan petikan positif yang menyasarkan golongan wanita sebagai pasaran utama.
“Jurnal adalah produk paling baharu yang kami keluarkan kerana melihat trend semasa. Ramai yang suka menggunakan stiker, menulis mengenai emosi dan melakukan refleksi diri.
“Selain itu, jurnal ini mengandungi banyak petikan positif yang berbeza pada setiap halaman untuk memberi inspirasi kepada pengguna,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di reruai Karangkraf sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026 yang berlangsung sehingga 7 Jun 2026 (Ahad).
Norhaslinda menjelaskan, produk berkenaan merupakan jurnal pertama yang diperkenalkan dalam kategori tersebut dan syarikat bercadang untuk menghasilkan lebih banyak pilihan pada masa akan datang.
Sebelum ini, katanya, penerbitan jurnal Karangkraf lebih tertumpu kepada tema Islamik, namun kini syarikat berusaha memperluaskan pasaran dengan menghasilkan kandungan yang boleh dinikmati oleh pelbagai lapisan masyarakat.
“Sebelum ini kebanyakan produk kami lebih berorientasikan keagamaan. Kini kami bergerak ke arah kandungan yang lebih menyeluruh supaya lebih ramai dapat memiliki dan menggunakannya.
“Setiap halaman dalam journal ini mempunyai petikan yang berbeza dan memberi ruang kepada pengguna untuk meluahkan perasaan serta menulis untuk diri sendiri,” katanya.
Mengulas sambutan yang diterima, beliau berkata, penerimaan pengunjung terhadap produk tersebut amat menggalakkan sejak diperkenalkan pada hari pertama pesta buku berkenaan.
“Setakat ini sambutan sangat memberangsangkan. Industri journal di Malaysia masih baharu dan sedang berkembang, jadi banyak rujukan yang kami lihat datang dari luar negara,” katanya.
Dalam pada itu, Norhalinda berkata, Karangkraf turut merancang untuk memperluaskan segmen sasaran jurnal pada masa hadapan.
“Buat masa ini sasaran utama adalah golongan dewasa. Namun selepas ini kami mungkin akan memperkenalkan jurnal khusus untuk remaja dan kanak-kanak,” ujarnya.
Katanya, bersempena PBAKL kali ini juga, pengunjung berpeluang menikmati tawaran harga lebih murah berbanding RM30 yang dijual di pasaran.
Selain itu, ujar Norhaslinda, Box Gift Sakinah yang menggabungkan elemen al-Quran dan jurnal sebagai satu pakej yang sesuai dijadikan hadiah kepada orang tersayang juga turut ditawarkan pada pesta buku kali ini.
“Jadi, kita harap orang ramai tidak melepaskan peluang untuk mengunjungi reruai kami terutama di ruangan merchandise atau barang dagangan yang menawarkan harga serendah RM1,” katanya.