Cabaran Aaron-Wooi Yik terhenti di pusingan kedua

Iklan
Cabaran Aaron-Wooi Yik terhenti di Pusingan Kedua Terbuka Indonesia.

 

CABARAN beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, dalam saingan Terbuka Indonesia 2026 berakhir lebih awal apabila tersingkir di pusingan kedua selepas tewas kepada wakil tuan rumah di Istora Senayan, Jakarta pada Khamis.

Iklan
Iklan

 

Pasangan pilihan kedua kejohanan itu gagal menampilkan rentak permainan sebenar sebelum akur kepada gandingan Indonesia, Raymond Indra-Nikolaus Joaquin, 14-21, 14-21 dalam tempoh hanya 33 minit.

Iklan

 

Kekalahan tersebut menyaksikan harapan Malaysia dalam acara beregu lelaki kini digalas oleh pasangan nombor satu dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, yang berjaya melangkah ke suku akhir dengan kemenangan bergaya ke atas wakil England, Ben Lane-Sean Vendy.

Iklan

 

Sze Fei-Izzuddin tidak berdepan banyak masalah untuk menundukkan pasangan England itu 21-11, 21-13, sekali gus melakar kemenangan sulung ke atas lawan berkenaan selepas tewas dalam tiga pertemuan terdahulu.

 

Menanti mereka di pentas suku akhir ialah beregu India, Hariharan Amsakarunan-M.R. Arjun, yang terlebih dahulu menyingkirkan satu lagi wakil Malaysia, Kang Khai Xing-Aaron Tai, menerusi kemenangan 16-21, 21-15, 21-19.

 

Sementara itu, cabaran Malaysia dalam acara perseorangan wanita turut berakhir apabila pemain nombor satu negara, K. Letshanaa, gagal meneruskan kemaraan selepas tewas kepada bekas juara dunia dari Jepun, Akane Yamaguchi.

 

Letshanaa memberikan tentangan sengit, namun terpaksa akur dengan kekalahan 15-21, 18-21 di tangan pemain berpengalaman itu.

 

Dalam acara perseorangan lelaki, Leong Jun Hao turut mengalami nasib yang sama apabila gagal melepasi halangan pemain Perancis, Alex Lanier, selepas tewas 16-21, 15-21.

 

Sementara itu, wakil beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing, turut menamatkan saingan mereka di pusingan kedua selepas tunduk kepada pasangan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran, 14-21, 22-24.

 

Keputusan tersebut menyaksikan hanya Sze Fei-Nur Izzuddin kekal membawa cabaran Malaysia dalam saingan suku akhir Terbuka Indonesia 2026.