'Saya nak tahu punca sebenar kematian suami'

Iklan
Nurkhaeryna berkata, kehilangan suami turut memberi kesan kepada anak sulung mereka, Nur Hawa Dharwisya Muhammad Faezuan Hakim yang kini berusia setahun tujuh bulan.

KUANTAN – “Memanglah ajal semua di tangan ALLAH, tetapi saya nak tahu punca bagaimana suami pergi dan apa yang sebenarnya berlaku,".

Demikian kata Nurkhaeryna Dhania Azreen Khairil Azri, 28, balu kepada mangsa tragedi platform Kemudahan Penyimpanan dan Pemindahan Terapung (FSO) Sepat, Muhammad Faezuan Hakim Mohammad Bustamam, 28, yang masih menunggu hasil siasatan bagi mengetahui punca sebenar kejadian yang meragut nyawa suaminya.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sehingga kini keluarga belum menerima keputusan lengkap berhubung insiden tersebut dan hanya dimaklumkan mengenai perkembangan semasa oleh pihak syarikat tempat arwah bekerja.

Iklan

“Setakat ini semua masih dalam siasatan dan kami hanya tahu mengenai kejadian yang berlaku, tetapi punca sebenar masih belum diketahui.

"Saya memang nak tahu sangat (hasil) siasatan dan kiranya saya nak keadilan untuk suami," katanya ketika ditemui pemberita di kediaman keluarganya di Bukit Setongkol di sini pada Khamis.

Iklan

Terdahulu, Nurkhaeryna dan keluarganya menerima kunjungan Exco ebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Datuk Sabariah Saidan menerusi Ziarah Prihatin Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Pada sesi ziarah itu, Sabariah menyampaikan sumbangan daripada Kerajaan Pahang dan PERKESO kepada Nurkhaeryna Dhania Azreen. Hadir sama, Pengarah PERKESO Pahang, Hisham Abdul Rahman dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, Khairul Amri Ahmad.

Nurkhaeryna (dua dari kanan) menerima kunjungan dari Sabariah (kanan) dan Hisham (dua dari kiri) serta Khairul Amri pada Ziarah Prihatin Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kediaman keluarganya di Bukit Setongkol di sini pada Khamis. Foto Sinar Harian.

Muhammad Faezuan Hakim antara tiga mangsa yang maut dalam tragedi bot penyelamat yang dinaiki mereka terjatuh ke laut ketika menjalankan kerja penyelenggaraan di FSO Sepat pada 24 Mei lalu.

Bercerita lanjut, Nurkhaeryna berkata, kehilangan suami turut memberi kesan kepada anak sulung mereka, Nur Hawa Dharwisya Muhammad Faezuan Hakim yang kini berusia setahun tujuh bulan.

Ujarnya, anak sulungnya itu sehingga kini masih mencari kelibat bapanya dan sering memanggil arwah apabila melihat gambar.

“Dia memang rapat dengan ayahnya. Masa awal kejadian, dia mencari sampai ke tingkap dan menunggu ayahnya pulang.

“Sampai sekarang kalau nampak gambar, dia akan terus memanggil babah,” ujarnya.

Sabariah (kanan) beramah mesra dengan anak sulung arwah pada Ziarah Prihatin Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kediaman keluarganya di Bukit Setongkol di sini pada Khamis. Foto Sinar Harian.

Menurut beliau, arwah yang menyertai syarikat baharu pada awal tahun ini berangkat ke laut pada 17 Mei lalu bagi tugasan pertamanya bersama majikan tersebut.

“Sebelum ini kami sudah lama tidak berjauhan..sebab itu hubungan dia dengan anak memang sangat rapat,” katanya.

Dalam pada itu, Nurkhaeryna yang kini hamil anak kedua dan dijangka melahirkan bayi perempuan pada 30 Julai depan mengakui masih menyesuaikan diri dengan kehidupan tanpa suami di sisi.

Luahnya, mereka sebelum ini merancang membeli beberapa keperluan bayi selepas arwah pulang daripada tugasan berkenaan.

“Banyak barang sudah ada kerana anak pertama juga perempuan, cuma tinggal sedikit lagi yang belum dibeli.

“Kami bercadang membeli keperluan itu selepas dia pulang bekerja, tetapi pemergiannya memang tidak disangka,” katanya.

Mengulas faedah daripada PERKESO yang diterima, Nurkhaeryna bersyukur kerana wang yang diterima itu dapat meringankan bebannya bersama anak perempuan, Nur Hawa Dharwisya yang berusia setahun tujuh bulan.

Katanya, bantuan yang diterima sedikit sebanyak meringankan beban memandangkan beliau kini tidak bekerja kerana memberi tumpuan kepada kandungan selain menguruskan anak kecil.

“Saya kini suri rumah dan bergantung kepada bantuan yang ada. Alhamdulillah ramai yang tampil membantu dan mengambil berat tentang keadaan kami,” jelasnya.

Sementara itu, Sabariah memaklumkan, PERKESO menyalurkan bantuan bulanan kepada waris mangsa tragedi platform FSO Sepat yang maut.

Alhamdulillah, majikan Allahyarham Muhammad Faezuan Hakim membuat caruman PERKESO dan layak mendapat faedah.

“Bantuan bulanan lebih RM3,000 ini akan diterima sehingga tempoh yang ditetapkan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut menyalurkan bantuan kepada keluarga berkenaan.

“Kita juga menyediakan khidmat kaunseling melalui pegawai terlatih bagi membantu keluarga dari segi emosi dan sokongan psikologi,” jelasnya.