Resolusi sekat kuasa perang Trump

Iklan
Trump mula berdepan tentangan daripada beberapa anggota partinya sendiri di Kongres selepas hanya segelintir Republikan berani menentang inisiatif dasar agresif beliau. Foto Agensi

WASHINGTON - Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) yang dikuasai Parti Republikan meluluskan resolusi untuk menghalang Presiden Donald Trump meneruskan perang terhadap Iran.

Langkah itu mencerminkan kebimbangan yang semakin meningkat dalam kalangan anggota partinya sendiri terhadap konflik yang telah berlarutan selama tiga bulan hingga mengancam sistem dunia.

Iklan
Iklan

Resolusi itu memperoleh 215 undi menyokong manakala 208 undi menolak yang turut menyaksikan empat anggota Republikan; Tom Barrett (Michigan), Warren Davidson (Ohio), Brian Fitzpatrick (Pennsylvania) dan Thomas Massie (Kentucky) berada di pihak Demokrat.

Resolusi itu mengarahkan Trump supaya menarik semula pasukan tentera AS dari Teheran melainkan Kongres mengisytiharkan perang atau memberikan kebenaran rasmi untuk penggunaan kuasa ketenteraan.

Iklan

Ia merupakan tamparan terbaharu kepada Trump meskipun partinya mempunyai majoriti tipis di Dewan Perwakilan dan Senat.

Buat masa ini, undian itu sebahagian besarnya masih bersifat simbolik kerana sesuatu rang undang-undang (RUU) perlu diluluskan oleh kedua-dua Dewan Perwakilan dan Senat sebelum boleh berkuat kuasa.

Iklan

Selain itu, terdapat juga perdebatan sama ada resolusi kuasa perang itu selaras dengan Perlembagaan walaupun diluluskan oleh Kongres.

Tiga resolusi kuasa perang sebelum ini gagal diluluskan di Dewan Perwakilan dengan margin kekalahan yang kecil. Kepimpinan Republikan di dewan itu juga secara tiba-tiba menangguhkan pengundian terhadap resolusi itu pada bulan lalu apabila ia dilihat berpotensi besar untuk mendapat lampu hijau.

Sejak akhir-akhir ini, Trump mula berdepan tentangan daripada beberapa anggota partinya sendiri di Kongres selepas hanya segelintir Republikan berani menentang inisiatif dasar agresif beliau. - Agensi