Krisis politik dan titah Raja Perlis

Iklan
Beberapa laporan Sinar Harian mengenai krisis di Perlis yang kini bukan lagi sekadar pertikaian politik biasa.

KEMELUT politik yang melanda Perlis sejak penghujung tahun lalu masih belum menemui titik noktah.

Perkara itu menyaksikan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan bertitah agar Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah dapat diberikan ruang untuk terus memimpin sehingga ke penghujung penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis ke-15 tanpa sebarang gangguan.

Iklan
Iklan

Titah baginda, kestabilan pentadbiran amat penting bagi memastikan segala perancangan pembangunan yang telah dirangka dapat dilaksanakan dengan lancar demi kepentingan rakyat dan negeri.

Perkembangan terbaharu negeri paling utara Semenanjung itu sebelum ini membayangkan kemungkinan berlaku pembubaran DUN sekiranya krisis dalaman dalam blok kerajaan gagal diselesaikan.

Iklan

Walaupun pimpinan Perikatan Nasional (PN) negeri menafikan wujud gerakan menjatuhkan kerajaan, hakikatnya beberapa perkembangan sejak penghujung tahun lalu menunjukkan hubungan antara komponen utama PN di Perlis masih belum benar-benar pulih.

Perhatian kini tertumpu kepada kedudukan Abu Bakar selepas timbul spekulasi mengenai kemungkinan usul undi tidak percaya terhadap beliau pada Sidang DUN yang berlangsung dari 3 hingga 5 Jun.

Iklan

Malah, beliau sendiri secara terbuka menyatakan tidak teragak-agak untuk membubarkan DUN sekiranya enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas mengemukakan usul berkenaan.

Dalam reaksi terbaru, beliau menolak spekulasi DUN Perlis akan dibubarkan dalam masa terdekat dan menjelaskan kenyataan sebelum ini dibuat sebagai jawapan kepada pertanyaan media mengenai pilihan yang ada sekiranya beliau kehilangan sokongan.

Namun Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam reaksinya berhubung situasi berkenaan melihat undi tidak percaya tidak semestinya perlu menunggu persidangan DUN.

Sebaliknya, ia boleh dilakukan melalui pengumpulan akuan bersumpah (SD) bagi membuktikan kehilangan sokongan majoriti sekiranya perkara tersebut mahu dilaksanakan.

Kenyataan itu memberi gambaran bahawa krisis di Perlis kini bukan lagi sekadar pertikaian politik biasa.

Walaupun kerajaan negeri masih kekal di bawah PN, beberapa siri kenyataan terbuka pemimpin kedua-dua parti sejak beberapa bulan lalu menunjukkan luka politik itu belum benar-benar sembuh.

Sejak itu, pelbagai episod politik terus berlaku termasuk penangguhan Sidang DUN yang sepatutnya berlangsung pada April lalu, sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai kestabilan kerajaan negeri.

Beberapa penganalisis politik melihat penangguhan tersebut menguatkan persepsi wujud masalah sokongan dalam pentadbiran negeri.

Persoalan yang timbul sekarang ialah sama ada pembubaran DUN benar-benar menjadi pilihan terbaik.

Dari sudut politik, pembubaran DUN boleh memberikan mandat baharu kepada rakyat untuk menentukan semula kerajaan negeri.

Namun langkah itu turut membawa risiko kepada semua pihak, khususnya PN yang memenangi 14 daripada 15 kerusi DUN pada Pilihan Raya Umum ke-15.

Justeru, penyelesaian terbaik ketika ini mungkin bukan melalui pembubaran DUN, sebaliknya usaha memulihkan kepercayaan dalam kalangan wakil rakyat PN sendiri.

Apa yang lebih penting ialah kemampuan kepimpinan negeri dan parti-parti terlibat mencari titik persefahaman sebelum krisis dalaman bertukar menjadi krisis mandat.

*Wan Mohd Noor Hafiz Wan Mansor ialah Wartawan Sinar Harian Utara