Karya Bestari perkenal al-Quran Al-Mubayyin, set hadiah Sakinah sempena PBAKL 2026

Iklan
Mysarah menunjukkan set hadiah Sakinah.

KUALA LUMPUR - Karya Bestari memperkenalkan dua produk baharu iaitu al-Quran Al-Mubayyin dan set hadiah Sakinah sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Eksekutif Pemasaran Karya Bestari, Mysarah Razlin berkata, pihaknya membawa pelbagai koleksi al-Quran dalam pelbagai saiz dan reka bentuk termasuk edisi berjaket kulit serta organizer yang menjadi antara produk paling laris syarikat itu tahun ini.

Iklan
Iklan

"Al-Quran Al-Mubayyin menjadi antara tarikan utama di reruai Karya Bestari kerana menawarkan pendekatan baharu dalam memahami kandungan al-Quran melalui terjemahan bertema yang disusun mengikut subtopik.

"Namun dengan al-Quran ini, setiap kelompok ayat dibahagikan mengikut tema tertentu seperti kisah nabi, peringatan atau pengajaran yang terkandung dalam surah berkenaan," katanya ketika ditemui di reruai Karya Bestari sempena PBAKL 2026 di WTCKL pada Selasa.

Iklan

Al-Quran Al-Mubayyin dan al-Quran Muslimah (kanan) merupakan dua produk baharu yang diperkenalkan Karya Bestari sempena PBAKL 2026.

Mysarah menjelaskan, pendekatan yang diperkenalkan menerusi al-Quran keluaran terbaharu itu secara tidak langsung membantu pembaca memahami maksud serta konteks sesuatu surah dengan lebih mudah dan tersusun.

Iklan

Lebih menarik ujarnya, al-Quran Al-Mubayyin turut didatangkan dalam lima pilihan warna menarik bagi memenuhi cita rasa pelbagai lapisan pengguna.

"Sebagai nilai tambah, setiap pembelian al-Quran ini sepanjang PBAKL 2026 akan menerima set kad imbas kisah-kisah dalam al-Quran secara percuma.

"Ia mengandungi 30 kisah yang mewakili 30 juzuk al-Quran dan sesuai digunakan oleh ibu bapa untuk memperkenalkan kisah-kisah yang diceritakan dalam kalam ALLAH itu kepada anak-anak selain membantu golongan muda mendalami tadabbur al-Quran," jelasnya.

Set hadiah Sakinah menampilkan al-Quran Muslimah, kad doa, buku jurnal, penanda al-Quran dan pelekat istimewa

Dalam pada itu Mysarah memaklumkan, Karya Bestari turut memperkenalkan set hadiah Sakinah yang direka khas buat golongan muslimah dengan penampilan premium dan eksklusif.

Beliau berkata, set tersebut mengandungi al-Quran Muslimah yang memuatkan kandungan termasuk hadis, kisah tokoh wanita serta panduan khusus yang relevan kepada golongan berkenaan.

"Dalam set ini juga terdapat jurnal bercetak kulit keras yang sesuai digunakan untuk aktiviti quran journaling dan tadabbur," katanya.

Al-Quran Al-Mubayyin ditawarkan pada harga RM40 manakala set hadiah Sakinah dijual pada harga sekitar RM80 sebelum potongan diskaun.

Reruai Karangkraf di tingkat tiga, Pusat Dagangan Dunia (WTC) sempena PBAKL 2026.

Ahli Karangkraf menikmati diskaun sehingga 20 peratus untuk semua produk, manakala pelanggan yang membeli lima naskhah al-Quran keluaran Karya Bestari atau lebih, layak menerima potongan harga sehingga 25 peratus.

"Pembelian lima naskhah itu juga boleh dibuat secara campuran melibatkan pelbagai jenis al-Quran keluaran Karya Bestari," katanya.