Detik getir lebih 11 hari terperangkap dalam gua

Iklan
Pasukan penyelamat membantu mengeluarkan seorang daripada tujuh lelaki yang terperangkap di dalam gua berkenaan. Foto AFP

XAISOMBOUN – Lima lelaki terselamat selepas terperangkap lebih 11 hari di dalam sebuah gua yang dilanda banjir di Laos berkongsi pengalaman ngeri berdepan kegelapan, kesejukan dan keletihan melampau sebelum berjaya keluar dengan selamat.

Salah seorang mangsa, Mee Singfamalai, 23, berkata, mereka terpaksa bergantung kepada semangat untuk terus hidup ketika terperangkap jauh di dalam gua selepas laluan keluar ditenggelami air akibat hujan lebat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, keadaan di dalam gua amat mencabar apabila mereka terpaksa bertahan dalam suasana gelap sepenuhnya, sejuk dan lembap tanpa makanan mencukupi.

Singfamalai dibantu keluar dari kawasan gua oleh anggota penyelamat selepas berjaya diselamatkan daripada insiden terperangkap di dalam gua berkenaan. (Foto Chakkrit Taengtang/Reuters)

Iklan

“Kami terlalu takut kerana hanya berlima di situ. Air sangat sejuk dan kami tidak tahu bila bantuan akan datang,” katanya.

Singfamalai berkata, mereka tidur berhimpit-himpit bagi mengekalkan haba badan selain cuba menjimatkan tenaga sementara menunggu bantuan tiba.

Iklan

Katanya, laluan di dalam gua juga amat sempit sehingga mereka terpaksa merangkak dan menyelam melalui ruang yang hanya cukup untuk dilalui seorang pada satu-satu masa.

Dalam keadaan semakin lemah dan kelaparan, mereka tetap berpegang kepada harapan untuk kembali bertemu keluarga.

Dua lelaki tidak dapat menahan perasaan ketika berjaya diselamatkan.- Foto AFP

“Saya sentiasa percaya akan hidup. Saya perlu kembali kepada ibu dan adik-beradik saya,” katanya.

Apabila paras air mula menunjukkan tanda-tanda surut, kumpulan itu mengambil keputusan untuk cuba keluar sendiri melalui laluan yang masih boleh dilalui walaupun berdepan risiko besar.

Perjalanan sejauh kira-kira 260 meter melalui terowong sempit dan berair memaksa mereka bergerak perlahan-lahan dalam keadaan gelap sepenuhnya.

“Kami hanya fikir mahu hidup. Kami tidak fikir selain itu,” katanya.

Singfamalai berkata, detik melihat cahaya di pintu gua dan disambut pasukan penyelamat menjadi pengalaman yang tidak akan dilupakannya sepanjang hayat.

Dalam perkembangan sama, pengalaman yang dilalui lima mangsa itu kini membantu pasukan mencari dan menyelamat (SAR) mengesan dua lagi lelaki dipercayai masih terperangkap lebih jauh di dalam sistem gua berkenaan.

Pasukan penyelamat Laos memaklumkan, maklumat yang diberikan mangsa mengenai laluan gua, ruang udara dan kawasan mereka lalui dianggap penting dalam merancang operasi pencarian baharu.

Mangsa yang terperangkap di dalam gua yang dinaiki air di wilayah Xaysomboun, Laos. Foto AFP

Lima lelaki terbabit ditemui masih hidup pada Rabu lalu dalam keadaan berhimpit di sebuah ruang sempit kira-kira 300 meter dari pintu masuk gua selepas terperangkap akibat banjir kilat ketika mencari emas hampir dua minggu lalu.

Seorang daripada mereka berjaya dibawa keluar oleh penyelam pada Jumaat, manakala empat lagi keluar sendiri pada Sabtu selepas paras air menurun hasil usaha berterusan pasukan penyelamat mengepam keluar air dari dalam gua.

Penyelam Malaysia yang menyertai operasi itu, Lee Kian Lie berkata, pasukan penyelamat telah menemubual kesemua mangsa bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai bahagian dalam gua.

“Kami akan meneruskan pencarian berdasarkan maklumat yang diperoleh dan berharap dapat sampai ke lokasi dua lagi mangsa,” katanya.

Ketika ini, operasi SAR masih diteruskan dengan tumpuan diberikan kepada satu laluan sempit yang dipenuhi air dan dipercayai menghubungkan kawasan lebih dalam di mana dua mangsa berkenaan mungkin berada.- AFP