Landskap tersembunyi di bawah lapisan ais Antartika terbongkar

Iklan
Peta baharu mendedahkan landskap tersembunyi di bawah lapisan ais Antartikadi bawah lapisan ais Antartika.

SATU peta baharu diterbitkan pada awal tahun lalu telah mendedahkan landskap tersembunyi di bawah lapisan ais Antartika dengan tahap perincian yang belum pernah dicapai oleh penyelidik terdahulu.

Para saintis percaya, penemuan itu dapat meningkatkan lagi pemahaman kajian moden tentang benua beku tersebut.

Iklan
Iklan

Para penyelidik menggunakan data satelit dan prinsip fizik yang menerangkan pergerakan glasier di Antartika untuk menganggarkan rupa bentuk permukaan di bawah lapisan aisnya.

Hasil kajian itu menunjukkan kewujudan hampir 72,000 bukit dan rabung yang tidak pernah direkodkan sebelum ini.

Iklan

Ketebalan ais di Antartika secara purata dianggarkan kira-kira 2,160m dengan ukuran paling maksimum pernah direkodkan ialah 4,776m yang ditemui di Adelie Land di Antartika Timur. - Foto Agensi

Selain itu, peta baharu tersebut turut memberikan gambaran yang lebih jelas tentang beberapa banjaran gunung tersembunyi di bawah lapisan ais.

Iklan

Walaupun peta berkenaan masih mempunyai beberapa ketidakpastian, para penyelidik percaya maklumat baharu itu dapat membantu menjelaskan bagaimana Antartika akan bertindak balas terhadap perubahan iklim dan kesannya terhadap kenaikan paras laut global.

Menurut ketua penyelidik, Dr Helen Ockenden dari Universiti Grenoble-Alpes, maklumat diperoleh daripada imej satelit sebelum ini seolah-olah melihat Antartika melalui kamera lama yang kabur.

Kini, imej digital beresolusi tinggi telah merungkai banyak misteri selain memberikan gambaran lebih terperinci tentang gunung dan ngarai yang tertimbus di bawah ais.

Para penyelidik berpendapat, pemahaman yang lebih mendalam tentang bukit, rabung, gunung dan saluran tersembunyi itu akan membantu meningkatkan ketepatan model komputer untuk meramalkan perubahan Antartika pada masa depan.

Hal ini kerana bentuk muka bumi yang tersembunyi di bawah lapisan ais memainkan peranan penting dalam menentukan tahap pergerakan glasier dan kadar penyusutan ais apabila suhu global terus meningkat.

Maklumat itu amat penting kerana kadar kehilangan ais di Antartika pada masa depan merupakan antara isu paling sukar dijangka dalam kajian perubahan iklim kerana dengan potensi memberi impak besar terhadap kenaikan paras laut global.

Penemuan itu bukan sahaja membuka tirai rahsia yang terkubur selama jutaan tahun di bawah hamparan ais Antartika, malah menjadi kunci penting kepada saintis untuk menyingkap sejarah bumi purba.

Ia juga dapat membantu penyelidik meramal dengan lebih tepat bagaimana benua beku itu akan menghadapi cabaran perubahan iklim semakin ketara yang telah mencetuskan cuaca ekstrem di seluruh dunia.

Info menarik:

  • Antartika merupakan benua tertinggi, paling kering, paling sejuk dan paling berangin di bumi. Ia meliputi kawasan seluas kira-kira 14.2 juta kilometer persegi.
  • Lapisan ais Antartika merupakan simpanan ais terbesar di dunia. Jisim daratannya meliputi kira-kira 14 juta kilometer persegi. Isipadu aisnya dianggarkan kira-kira 30 juta kilometer padu.
  • Ketebalan purata lapisan ais Antartika adalah kira-kira 2,160 meter(m) manakala ketebalan maksimumnya mencapai 4,776m.
  • Kira-kira 98 peratus daripada permukaan Antartika dilitupi ais.
  • Antartika tidak mempunyai zon waktu rasmi kerana di Kutub Selatan semua garisan longitud bertemu pada satu titik. Selain itu, kawasan tersebut mengalami enam bulan siang berterusan pada musim panas dan enam bulan malam pada musim sejuk yang menjadikan konsep masa harian menjadi tidak jelas. Dari Kutub Selatan, setiap arah yang diambil akan menuju ke utara.
  • Antartika mempunyai beberapa gunung berapi dan dua daripadanya masih aktif. Gunung Erebus ialah gunung berapi kedua tertinggi di Antartika dan juga gunung berapi aktif di kawasan paling selatan di dunia. Ia terletak di Pulau Ross dan dilitupi ais serta mempunyai ciri unik seperti wap gas panas yang keluar melalui rekahan dan membentuk bentuk ais pelik di sekeliling kawahnya.
  • Terdapat sebuah tasik bawah glasier yang berwarna merah digelar Blood Falls yang terhasil daripada takungan air masin purba terperangkap di bawah glasier selama jutaan tahun yang kaya dengan garam dan kandungan besi yang tinggi. Apabila air tersebut keluar ke permukaan dan terkena udara, besi dalam air akan teroksida (berkarat). Proses semula jadi itu menyebabkan air berubah menjadi warna merah seperti darah.
  • Pada Disember 1959, sebanyak 12 negara menandatangani Perjanjian Antartika iaitu satu persetujuan antarabangsa untuk menjadikan Antartika sebagai kawasan aman dan semata-mata untuk tujuan sains. Kini, lebih 40 negara telah menyertainya dan kesemua keputusan dibuat secara persetujuan bersama. Sistem itu juga melarang aktiviti seperti perlombongan dan menetapkan peraturan ketat terhadap sebarang kegiatan manusia di Antartika.
  • Fenomena cuaca unik iaitu ‘habuk berlian’ terdiri daripada kristal ais halus yang terapung di udara sejuk juga berlaku di Antartika. Ia kelihatan seperti kabus berais dan akan berkilau seperti ribuan berlian kecil yang terapung di udara apabila terkena cahaya matahari.