SAR memasuki hari ke-8, di mana Jaslinda?

Iklan
Mangsa kali terakhir dilihat sekitar jam 7.30 pagi oleh malim gunung sebelum dilaporkan hilang.

OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) yang secara rasmi digerakkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersama agensi lain pada 25 Mei lalu masih belum menemukan Jaslinda Saludin, 49.

Jaslinda ialah pendaki yang hilang dalam ekspedisi Trans Spencer Chapman, trek hutan pergunungan melalui Pos Gedung, Gunung Bah Gading, Gunung Batu Putih serta dijangka keluar ke Kuala Woh.

Iklan
Iklan

Kes kehilangan Jaslinda terus mendapat perhatian ramai sehingga ke hari ini.

Kehilangannya bukan sahaja mencetuskan kebimbangan keluarga, malah membuka perbincangan lebih luas mengenai aspek keselamatan aktiviti lasak di negara ini.

Iklan

Menurut laporan media dan kenyataan daripada pasukan SAR, Jaslinda menyertai ekspedisi bersama 13 pendaki serta dua malim gunung.

Pada mulanya, salah seorang peserta pendaki, Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami sesak nafas dan muntah darah, kemudian berhenti bersama malim gunung di Kem Batu Kor.

Iklan

Jaslinda pada awalnya turut berhenti, namun dipercayai meneruskan pendakian secara bersendirian ke puncak Gunung Batu Putih.

Mangsa kali terakhir dilihat sekitar jam 7.30 pagi oleh malim gunung sebelum dilaporkan hilang.

Kini memasuki hari kelapan pencarian, di mana Jaslinda?

Tidak dinafikan, faktor bentuk muka bumi, cuaca tidak menentu dan laluan yang sukar antara cabaran utama dalam operasi SAR.

Malah, malim gunung berpengalaman turut mengakui laluan Gunung Batu Putih memerlukan tahap ketahanan fizikal serta kemahiran navigasi yang tinggi.

Apa yang lebih menyentuh emosi masyarakat adalah harapan keluarga yang masih menunggu kepulangan Jaslinda.

Dalam situasi seperti ini, setiap jam berlalu meningkatkan tekanan emosi bukan sahaja kepada keluarga, tetapi juga pasukan SAR yang bertungkus-lumus meneruskan pencarian.

Apa pun, diharapkan operasi SAR mencari Jaslinda membuahkan hasil secepat mungkin.

Selagi belum ditemui, harapan keluarga dan rakyat Malaysia masih belum padam.

Dalam masa sama, tragedi ini wajar dijadikan peringatan bahawa aspek disiplin, komunikasi dan pematuhan prosedur keselamatan adalah perkara yang tidak boleh dipandang ringan ketika berada di kawasan hutan atau gunung.

Terbaharu, operasi SAR dilaporkan berdepan risiko ancaman hidupan liar apabila pasukan penyelamat mengesan kehadiran najis dipercayai milik haiwan berbahaya termasuk harimau kumbang.