Rumah Ngaji gerak inisiatif laksana korban

Iklan
Suasana gotong-royong di Rumah Ngaji Teluk Muroh di sini yang mengadakan ibadah korban pada Khamis.

LUMUT – Inisiatif Rumah Ngaji Teluk Muroh memudahkan ahli melaksanakan ibadah korban apabila berjaya mengumpulkan simpanan bulanan yang membolehkan pelaksanaan korban melibatkan tiga ekor lembu pada tahun ini.

Penggerak Rumah Ngaji Teluk Muroh, Datin Maziah Rafie berkata, idea tersebut tercetus apabila ahli Rumah Ngaji berhasrat untuk menunaikan sendiri ibadah korban secara berkelompok dan lebih tersusun.

Iklan
Iklan

Menurutnya, setiap peserta yang terlibat membayar RM80 sebulan selama 10 bulan bagi mendapatkan satu bahagian lembu korban.

“Program ini sudah dilaksanakan sejak dua tahun lalu dan tahun ini merupakan tahun ketiga pelaksanaannya.

Iklan

“Rumah Ngaji hanya bertindak sebagai pemudah cara kepada ahli serta penduduk kampung yang kurang berkemampuan untuk melaksanakan ibadah korban,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Maziah berkata, pelaksanaan ibadah korban tahun ini bukan sahaja dinikmati peserta, malah kira-kira 150 penduduk kampung turut menerima agihan daging.

Iklan

Katanya, suasana turut bertambah meriah apabila pelbagai lapisan masyarakat bergotong-royong bermula daripada proses melapah lembu sehingga pengagihan daging korban kepada penerima.

“Selain memasak bersama-sama dan mengadakan kenduri, kita juga mengadakan tazkirah ringkas.

“Memang meriah dan tradisi ini akan diteruskan kerana mendapat sambutan menggalakkan,” katanya.

Jelasnya, ibadah korban yang dilaksanakan bersama Rumah Ngaji Teluk Muroh bukan sahaja memberi manfaat kepada peserta, malah menjadi medium mengeratkan silaturahim dalam kalangan ahli dan penduduk setempat.