Hakim AS sekat sementara dana AS$1.8 bilion pentadbiran Trump

Iklan
Donald Trump

WASHINGTON - Seorang Hakim Persekutuan Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat mengeluarkan perintah menghalang sementara pentadbiran Presiden Donald Trump daripada menubuhkan dana hampir AS$1.8 bilion (RM7.6 bilion) bagi memberi pampasan kepada individu yang didakwa menjadi mangsa apa yang disifatkan Trump sebagai ‘persenjataan’ kerajaan.

Reuters melaporkan, Hakim Daerah AS bagi Daerah Timur Virginia, Leonie Brinkema, memerintahkan pentadbiran Trump supaya tidak mengambil sebarang tindakan lanjut untuk menubuhkan atau mengendalikan dana berkenaan sementara mahkamah mendengar hujah undang-undang tambahan.

Iklan
Iklan

Perintah itu akan kekal berkuat kuasa sekurang-kurangnya sehingga 12 Jun depan.

Jabatan Kehakiman AS minggu lalu mengumumkan penubuhan Dana Anti-Persenjataan (Anti-Weaponization Fund) sebagai sebahagian daripada penyelesaian saman yang difailkan Trump terhadap Perkhidmatan Hasil Dalam Negeri (IRS) susulan kebocoran rekod cukainya.

Iklan

Dana berjumlah AS$1.776 bilion itu dicadangkan untuk diuruskan oleh sebuah suruhanjaya lima anggota yang bertanggungjawab menyalurkan pembayaran kepada individu yang berjaya membuktikan mereka menjadi mangsa apa yang digelar sebagai “lawfare” dan “weaponization”, istilah yang sering digunakan Trump serta sekutunya bagi merujuk kepada siasatan dan kes jenayah terhadap mereka.

Keputusan Brinkema dibuat susulan saman yang difailkan oleh sekumpulan individu yang mendakwa mereka menjadi sasaran pentadbiran Trump-Vance atas alasan ideologi atau politik serta tidak layak menerima sebarang bayaran daripada dana tersebut.

Iklan

Dana itu turut mencetuskan bantahan, termasuk daripada beberapa ahli Parti Republikan sendiri yang mempersoalkan kemungkinan individu yang terbabit dalam serangan ke atas Bangunan Capitol AS pada 6 Januari 2021 menerima pampasan yang dibiayai pembayar cukai.

Dalam perintahnya, Brinkema menghalang kerajaan daripada memindahkan wang ke dalam dana berkenaan, mempertimbangkan tuntutan dikemukakan atau membuat sebarang pembayaran sehingga mahkamah memutuskan isu perundangan yang dibangkitkan.

Perbicaraan lanjut bagi menentukan sama ada perintah itu akan dilanjutkan dijadual berlangsung pada 12 Jun ini.