Lima pencari emas terperangkap dalam gua selama seminggu

Iklan
Anggota penyelamat berkumpul di luar gua ketika operasi mencari dan menyelamat dijalankan.- Foto AFP

VIENTIANE - Pasukan penyelam penyelamat berjaya menemui lima daripada tujuh individu yang terperangkap selama seminggu dalam sebuah gua di Laos dalam keadaan masih hidup pada Rabu, sekali gus mencetuskan kelegaan besar dalam operasi mencari dan menyelamat yang disifatkan sebagai amat berisiko.

Ketujuh-tujuh warga Laos itu dipercayai memasuki sebuah gua di wilayah Xaysomboun, timur laut ibu negara Vientiane pada 20 Mei lalu untuk mencari emas sebelum hujan lebat mencetuskan banjir kilat dan menutup laluan keluar.

Iklan
Iklan

Penemuan lima mangsa itu disahkan menerusi rakaman video yang dikongsi penyelamat Thailand, Chakkit Taengtan yang menunjukkan mereka berada di ruang sempit dalam gua dengan pakaian, tangan dan wajah dipenuhi lumpur.

Mangsa yang terperangkap di dalam gua ditemui masih hidup oleh pasukan penyelamat pada Rabu. Foto Reuters

Iklan

Dalam rakaman tersebut, dua penyelam dilihat berdiri dalam air separas perut ketika menghampiri kumpulan mangsa yang berlindung di atas kawasan berbatu.

“Kami menemui lima warga Laos. Semua selamat. Kami akan terus memberikan bantuan,” kata penyelam penyelamat Thailand, Norrased Palasing.

Iklan

Seorang lagi penyelam dari Finland, Mikko Paasi berkata, penemuan itu hanya memberikan kelegaan sementara kerana semua mangsa masih belum berjaya dibawa keluar dari gua berkenaan.

Berdepan situasi sukar

Menurutnya, operasi menyelamat dijangka sukar memandangkan pasukan penyelamat perlu meredah laluan sempit yang dipenuhi air banjir selain berdepan risiko runtuhan dan masalah kualiti udara.

Anggota penyelamat memasuki gua berkenaan bagi menjalankan operasi menyelamat.- Foto AFP

“Lima mangsa berada dalam keadaan sihat dan masih bersemangat, namun cabaran sebenar adalah untuk membawa mereka keluar dengan selamat,” katanya menerusi media sosial.

Beliau berkata, pasukan penyelamat kini perlu kembali semula ke lokasi mangsa untuk menghantar bekalan makanan dan perubatan bagi membantu mereka mendapatkan tenaga sebelum proses membawa keluar dilakukan.

Media kerajaan Laos melaporkan operasi mencari dua lagi individu yang masih hilang sedang diteruskan secara intensif.

Menurut Paasi, ruang terakhir tempat lima mangsa ditemui terletak kira-kira 300 meter dari pintu keluar gua, manakala laluan ke kawasan tersebut sangat sempit dan berbahaya.

Anggota penyelamat berkumpul sambil berbincang sebelum memulakan operasi.- Foto AFP

Beliau turut menjelaskan bahawa kesemua mangsa memasuki gua dengan bekalan mencukupi untuk bertahan beberapa hari di bawah tanah.

Norrased dan Paasi merupakan antara penyelam yang pernah terlibat dalam operasi dramatik menyelamat pasukan bola sepak remaja 'Wild Boars' yang terperangkap dalam gua Tham Luang di Thailand pada 2018.

Operasi menyelamat di Laos itu turut mendapat perhatian antarabangsa berikutan cabaran ekstrem yang dihadapi pasukan penyelamat dalam usaha membawa keluar semua mangsa dengan selamat.

Sebelum operasi diteruskan pada Rabu, anggota penyelamat Laos bersama penduduk kampung turut mengadakan upacara tradisional bagi memohon perlindungan dan keselamatan sepanjang misi dijalankan.-Agensi

Info insiden terperangkap dalam gua:

  • Tujuh individu terperangkap dalam sebuah gua di wilayah Xaysomboun, Laos.
  • Kejadian berlaku selepas mereka memasuki gua untuk mencari emas.
  • Hujan lebat mencetuskan banjir kilat dan menutup laluan keluar gua.
  • Sekurang-kurangnya lima mangsa telah ditemui masih hidup oleh penyelam.
  • Kesemua mangsa masih belum berjaya dibawa keluar dari gua.
  • Mangsa ditemui berada di ruang bawah tanah sempit dalam keadaan berlumuran lumpur.
  • Usaha masih diteruskan untuk mengesan dua lagi mangsa yang belum ditemui.