WASHINGTON - Tentera Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan ketenteraan di selatan Iran buat kali kedua dalam tempoh tiga hari, ketika rundingan gencatan senjata masih berada dalam keadaan tidak menentu, menurut seorang pegawai AS.
Pegawai berkenaan berkata, operasi tersebut adalah tindakan 'mempertahankan diri' selepas pihak tentera menembak jatuh empat dron serangan satu hala yang didakwa dilancarkan Iran di sekitar Selat Hormuz.
“Pasukan AS menembak jatuh empat dron yang mengancam pergerakan di kawasan Selat Hormuz,” kata pegawai itu yang tidak mahu namanya disiarkan.
Menurut kenyataan itu lagi, tentera AS turut melancarkan serangan udara ke atas sebuah stesen kawalan dron di bandar Bandar Abbas, selatan Iran, sebelum ia sempat melancarkan satu lagi dron tambahan.
Serangan terbaharu ini berlaku selepas operasi sama dilaporkan pada Isnin, yang menyasarkan tapak pelancaran peluru berpandu dan bot milik Iran yang didakwa sedang memasang periuk api di kawasan perairan strategik berkenaan.
Komando Pusat AS (US Central Command) sebelum ini memaklumkan bahawa operasi tersebut dilaksanakan berdasarkan risikan awal yang mengesan aktiviti ketenteraan Iran yang dianggap berpotensi mengancam pasukan AS di rantau itu.
Dalam perkembangan berkaitan, pesawat tempur AS turut dilaporkan menenggelamkan dua bot laju milik Kor Pengawal Revolusi Iran yang dipercayai cuba meletakkan periuk api di Selat Hormuz, laluan perkapalan utama dunia yang sebelum ini membawa kira-kira satu perlima bekalan minyak global.
Selat Hormuz kini kekal menjadi titik panas ketegangan selepas beberapa operasi ketenteraan berulang di kawasan tersebut sejak konflik terdahulu, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kestabilan gencatan senjata yang masih rapuh.
Pegawai tentera AS turut mendakwa tindakan Iran berkemungkinan bertujuan menguji tahap kelonggaran operasi selepas pengumuman perjanjian gencatan senjata yang belum dimuktamadkan sepenuhnya. - Agensi