BAITULMAQDIS - Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dilaporkan dimasukkan ke Hospital Hadassah Ein Kerem pada malam Isnin bagi menjalani prosedur pergigian.
Memetik laporan media Israel, pejabat Netanyahu bagaimanapun tidak memperincikan jenis rawatan yang diterima pemimpin berusia 76 tahun itu.
Perkembangan terbaharu tersebut sekali lagi mencetuskan perhatian terhadap tahap kesihatan Netanyahu yang sebelum ini beberapa kali menjadi perdebatan di Israel.
Awal bulan ini, Netanyahu ketika memberi keterangan di mahkamah berhubung saman fitnah terhadap beberapa individu dan wartawan berkaitan dakwaan tahap kesihatannya menegaskan keadaan dirinya berada dalam keadaan 'baik' dan 'cemerlang'.
“Saya bersenam, menjalani pemeriksaan kesihatan dan semua bacaan saya normal,” katanya.
Beliau turut menafikan dakwaan menghidap kanser pankreas.
Sebelum ini, Netanyahu mengakui pernah merahsiakan diagnosis kanser prostat ketika konflik melibatkan Iran sedang memuncak.
Menurutnya, ujian lanjut pada penghujung 2025 mengesan pertumbuhan kanser prostat peringkat awal selepas beberapa tahun mengalami masalah pembesaran prostat.
Netanyahu sebelum ini turut menjalani beberapa prosedur perubatan termasuk pemasangan alat perentak jantung pada 2023 serta pembedahan berkaitan prostat dan hernia. - Agensi