SHAH ALAM - Di sebalik gaya kepimpinan teknokrat yang cukup tersusun, Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau membongkarsatu lagi kelebihan tersembunyi dimiliki Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Menurut Dominic, Naib Presiden Pas itu bukan sahaja mempengerusikan mesyuarat dengan ringkas dan padat tetapi turut memiliki sikap mesra rakyat dan tidak kekok bergaul.
"Semalam baru saya sedar, Dr Sam bukan sahaja mempunyai gaya kepimpinan teknokrat yang cukup tersusun, mempengerusikan mesyuarat dengan ringkas, tepat dan terus kepada isi penting, rupanya beliau juga ada satu lagi 'kelebihan tersembunyi'.
"Setiap kali ahli Gerakan mahu selfie dengannya, Dr Sam tidak kekok langsung. Malah beliau sendiri akan mengambil telefon bimbit mereka dan membantu mengambil selfie bersama.
"Yang menariknya, gaya beliau begitu natural, sudut gambar cantik, senyuman pula cukup mesra... memang nampak macam sudah 'pro' (profesional). Sikap mesra rakyat, tidak berjarak dan tidak kekok bergaul ini perlahan-lahan menjadi 'signature character' beliau," katanya menerusi hantaran di media sosial pada Ahad.
Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu dilantik Pengerusi PN pada 22 Februari lalu bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan.
Mengulas lanjut, Dominic berkata, ketika bermesyuarat, Ahli Parlimen Kemaman itu menunjukkan kepimpinan yang profesional, rasional dan fokus kepada penyelesaian.
Bagaimanapun katanya, apabila bersama rakyat, beliau tampil dengan gaya cukup santai, mudah didekati dan penuh kemesraan.
"Kadangkala, rakyat bukan hanya mahu seorang pemimpin yang pandai bercakap dalam mesyuarat, tetapi seorang pemimpin yang sudi mendekati rakyat, mendengar dan berinteraksi bersama mereka.
"Kadang-kadang, satu selfie yang ikhlas, satu senyuman yang mesra, lebih menyentuh hati daripada seribu ucapan politik," tulisnya.